ALOR SETAR – Tindakan seorang warga tempatan menyewakan motosikal kepada lelaki etnik Rohingya dengan bayaran RM150 sebulan memakan diri apabila kenderaan itu disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kelmarin.
Lelaki Rohingya berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi JPJ di Jalan Datuk Kumbar, di sini kira-kira pukul 9 pagi.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, namun berjaya ditahan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah.
“Siasatan lanjut mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC itu dipercayai disewa dengan bayaran RM150 sebulan dan telah digunakan untuk kegunaan harian sejak kira-kira setahun lalu.
“Pemilik motosikal tersebut ialah seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati cukai jalan dan perlindungan insurans motosikal itu masih berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, motosikal berkenaan disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambahnya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang didapati membenarkan atau menyewakan kenderaan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa memastikan mereka memiliki lesen memandu yang sah. – KOSMO! ONLINE














