SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 8.15 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam bernilai keseluruhan RM9.14 juta termasuk duti selepas memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor.
Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, pemeriksaan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang pada 24 Jun lalu kira-kira pukul 11.15 pagi ke atas sebuah kontena yang diikrarkan membawa PE (Polyethylene) Tarpaulin atau kanvas plastik.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu sebenarnya mengandungi 815 ‘master case’ yang mengandungi 8,150,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam dengan nilai keseluruhan termasuk duti berjumlah RM9,144,300.
“Siasatan awal mendapati kontena berkenaan dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan syarikat logistik yang mempunyai cawangan sekitar Subang Jaya, Selangor, manakala dagangan itu dipercayai dari sebuah negara di Asia Tenggara,” katanya pada sidang akhbar sim di hari ini.
Tambahnya, sindiket dipercayai membuat pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan muatan sebagai kanvas plastik bagi mengaburi pihak berkuasa, sedangkan kontena itu membawa rokok yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang juga pengurus syarikat perkapalan telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perisytiharan yang tidak benar. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. -KOSMO! ONLINE














