SERDANG – Kerajaan Selangor menyasarkan pembangunan semula Pasar Borong Selangor bermula seawal tahun depan dengan konsep lebih moden, susulan kebakaran yang memusnahkan tiga premis perniagaan di kawasan itu malam tadi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, projek berkenaan telah lama dirancang, namun pelaksanaannya tertangguh susulan beberapa isu melibatkan kontraktor yang dilantik sebelum ini.
“Perancangan pembangunan semula ini memang telah lama dibuat dan kini kita sedang memuktamadkan reka bentuk serta pelaksanaannya. Kita berharap projek ini dapat dimulakan pada awal tahun depan.
“Isu-isu terdahulu hampir selesai dan kini hanya tinggal beberapa perkara berkaitan kontraktor sebelum pelaksanaan dimulakan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri mahu mewujudkan sebuah pasar borong moden yang bukan sahaja menawarkan harga berpatutan dan barangan segar, malah lebih selesa serta menarik kepada pengunjung.
“Kita mahu mengubah persepsi orang ramai bahawa pasar itu semestinya kotor dan tidak selesa. Banyak pasar moden yang telah kita lawati membuktikan persekitaran yang bersih dan tersusun mampu diwujudkan tanpa menjejaskan fungsi asalnya.
“Reka bentuk baharu juga akan mengambil kira aspek keselamatan seperti sistem pili bomba, sistem pemercik air (sprinkler), ruang parkir yang mencukupi serta kemudahan lain mengikut piawaian semasa,” ujarnya.
Tambah beliau, pembangunan semula itu turut mengambil kira keseluruhan ekosistem perniagaan di kawasan tersebut termasuk industri sokongan seperti pemprosesan hasil pertanian, perniagaan perkakasan dan peralatan katering yang bergantung kepada operasi pasar borong.
Mengulas mengenai kebakaran itu, beliau berkata, ia melibatkan tiga premis iaitu sebuah kedai menjual peralatan katering dan barangan dapur, sebuah premis menjual telur serta sebuah kedai perkakasan.
Katanya, operasi pasar bagaimanapun tidak terjejas kerana kebakaran hanya membabitkan tiga premis berkenaan manakala premis lain terus beroperasi seperti biasa. – KOSMO! ONLINE














