fbpx
Ashrul Riezal melakukan pemeriksaan di lokasi kebakaran yang melibatkan beberapa premis kedai berhampiran Pasar Borong Selangor hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

Kebakaran Pasar Borong Selangor: Laporan forensik siap 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menjangkakan laporan lengkap berhubung punca kebakaran yang memusnahkan beberapa premis di Pasar Borong Selangor di sini akan disiapkan dalam tempoh 14 hari selepas siasatan forensik dimulakan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, proses siasatan forensik akan bermula sebaik sahaja operasi pembersihan dan pengalihan sisa kebakaran selesai sepenuhnya.

Menurutnya, laporan itu akan merangkumi penemuan hasil siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran sebelum diserahkan kepada pemilik premis.

“Selepas siasatan selesai, kita memerlukan kira-kira 14 hari untuk menyediakan laporan sebelum ia diserahkan kepada pemilik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal di kawasan kebakaran turut mendapati premis yang musnah itu tidak dilengkapi alat pemadam api yang sepatutnya boleh digunakan sebagai tindakan awal ketika kebakaran berlaku.

Mengulas sama ada audit keselamatan kebakaran akan diperluaskan ke premis berhampiran, Ashrul berkata, perkara itu belum dirancang buat masa ini.

Jelasnya, bangunan jenis terbuka seperti di kawasan pasar borong tertakluk kepada keperluan keselamatan kebakaran yang berbeza berbanding bangunan tertutup.

“Secara asasnya, premis seperti ini hanya perlu menyediakan kemudahan seperti hos gelung (hose reel) dan alat pemadam api.

“Setakat pemerhatian saya, bangunan utama Pasar Borong Selangor mempunyai kemudahan tersebut, namun saya belum membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap semua premis berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN