fbpx
Kon Yeow (tengah) melawat reruai sempena lawatan ke Mardi Pulau Pinang di Kepala Batas, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

6,572 pesawah, petani sayur terima bantuan one-off RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kerajaan Pulau Pinang meluluskan Bantuan Sara Hidup secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 kepada setiap pesawah padi dan petani tanaman sayuran yang layak di negeri ini bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.286 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 6,572 petani terdiri daripada 5,567 pesawah padi serta 1,005 petani tanaman sayuran di seluruh negeri.

“Bantuan Sara Hidup ini juga memenuhi komitmen Kerajaan Negeri di bawah Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023, khususnya Tema 10: Keterjaminan Rantaian Makanan menerusi Manifesto 31 yang memberi penekanan kepada bantuan sara hidup kepada pesawah, pekebun sayur dan juga nelayan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga tahun ini, Pulau Pinang mempunyai 11,858 hektar kawasan tanaman padi aktif yang diusahakan oleh 5,567 pesawah dengan purata pengeluaran 4.69 tan metrik sehektar.

Tambahnya, sektor tanaman sayuran pula melibatkan 1,005 petani yang menghasilkan sebanyak 10,648 tan metrik sayuran pada tahun lalu, sekali gus membuktikan peranan penting komuniti petani dalam memastikan bekalan makanan negeri sentiasa mencukupi.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor agromakanan melalui pelbagai inisiatif termasuk memperluaskan penggunaan teknologi dan amalan pertanian moden, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta agensi berkaitan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN