PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kedah (Langkawi, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak.
Keadaan sama turut berlaku di Kelantan (Jeli dan Gua Musang), Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Bera dan Rompin).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Hulu Langat), Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Miri (Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi) dan Limbang (Limbang).
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














