SERDANG – Tiada mangsa ditemukan dalam kebakaran yang memusnahkan beberapa premis perniagaan di Pasar Borong Selangor di sini selepas kerja-kerja punggahan sisa bahan terbakar selesai dijalankan petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada individu terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
“Kerja-kerja punggahan sisa bahan bakar selesai dilaksanakan kira-kira pukul 5 petang dan hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa ditemukan.
“Tapak insiden kemudian diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran Negeri untuk tindakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya hari ini.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6 petang selepas semua anggota dan jentera kembali ke balai masing-masing.
Terdahulu, JBPM menggunakan jengkaut bagi mengalihkan timbunan sisa kebakaran susulan terdapat petunjuk bahawa premis berkenaan pernah dijadikan tempat tinggal, sekali gus bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di lokasi.
Kebakaran yang berlaku semalam memusnahkan beberapa premis perniagaan di kawasan pasar berkenaan, namun api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama pasar. – KOSMO! ONLINE














