fbpx
AWAL menyifatkan kehadiran anak-anak, khususnya Lara Alana menjadikan dirinya seorang lelaki, khususnya bapa yang sangat rasional dan waras mengemudikan sebuah keluarga.

Lara ajar saya jadi bapa yang waras – Awal Ashaari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari meluahkan rasa sebak apabila terkenang kembali perjalanan membesarkan anak sulungnya, Lara Alana yang kini sudah berusia 12 tahun.

Awal, 44, berkata, Lara merupakan ‘guru’ yang banyak mengajarnya menjadi seorang bapa dan mengakui melakukan beberapa kesilapan ketika membesarkan anak sulungnya itu.

“Apabila saya lihat semula gambar dan video lama, saya merenung semula diri saya. Banyaknya perkara yang saya tidak tahu sebagai bapa ketika membesarkan Lara.

“Setiap kali ulang tahun kelahiran Lara atau ada momen saya berdua dengannya, saya akan minta maaf kepada Lara. Saya akan peluk dia kuat-kuat. Macam birthday dia baru-baru ini, kami berpelukan dan menangis,” ujar Awal yang ditemui semalam.

Awal menjelaskan, keterujaan bergelar bapa buat kali pertama membuatkan dia terlalu ghairah dalam mendidik Lara sehingga terlepas pandang beberapa perkara.

“Mungkin keterujaan pertama kali jadi bapa itu membuatkan saya suruh Lara lakukan semua perkara. Saya lihat anak orang belajar naik kuda, saya pun hantar Lara juga dan pelbagai kelas lain.

“Ibaratnya Lara tidak ada masa membesar seperti kanak-kanak, kalau saya nampak dia tidak buat apa, pasti ada saja aktiviti yang saya akan isi.

“Dulu saya banyak ‘try and error’ dengan Lara. Bila ada anak kedua, saya tidak suruh pun buat macam-macam, biar dia sendiri lakukan apa dia minat.

“Lara mengajar saya erti menjadi bapa yang waras dan memahami anak. Apabila imbas kembali, waktu kecilnya sangat sibuk diisi dengan aktiviti yang banyak tidak perlu pun,” luah Awal.

Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumumannya bersama isteri, Scha Alyahya sebagai pengasas bersama platform e-dagang penstriman langsung, JAM yang berlangsung semalam.

Menurut Awal, pengalaman bersama Lara menjadikannya seorang bapa yang lebih matang dan memahami keperluan setiap anak yang mempunyai personaliti serta minat berbeza.

Ditebak mengenai harapannya terhadap Lara yang kini sedang meningkat remaja, Awal mendoakan anaknya itu sentiasa kuat berdepan cabaran kehidupan.

“Lara seorang anak yang sangat lembut hati dan pendiam. Karakternya berbeza daripada Lara ketika zaman kanak-kanak. Dia kini lebih banyak ikut sifat dan perangai Scha.

“Saya ada juga rasa risau dengan dunia hari ini yang penuh cabaran, boleh atau tidak anak sulung saya tempuhi. Saya harap dia akan terus dilindungi dan berdiri mempertahankan dirinya dalam apa jua keadaan,” ujar Awal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN