fbpx
Lampu ‘albino’ dipasang oleh pemilik kenderaan untuk kelihatan lebih sporty tanpa menyedari ia membahayakan pengguna lain.

Silau ikut belakang kereta lampu ‘albino’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Trend pemilik kereta atau motosikal yang me­nukar ‘cover’ lampu kenderaan menjadi warna putih sepenuh­nya atau lebih popular disebut lampu ‘albino’ dikhuatiri boleh mengundang risiko kemalangan atau kecelakaan jalan raya.

Situasi itu telah membuat ramai pemandu di belakang ‘naik angin’ terutama ketika melalui jalan gelap atau laluan berbengkang-bengkok pada waktu malam kerana menyebabkan penglihatan mereka menjadi silau.

Silau daripada lampu tersebut boleh menyebabkan pemandu yang berada di belakang akan hilang fokus dan tidak mempu melihat dengan jelas dan kea­daan itu boleh menyebabkan mereka terbabas atau berlaku kemalangan.

Istilah lampu ‘albino’ merujuk kepada lampu belakang yang ditukar kepada warna putih jernih atau lutsinar berbeza de­ngan lampu standard berwarna merah daripada pengeluar.

Seorang pemandu, Imran Hilmy, 48, berkata, sikap pemilik kenderaan yang kemaruk ­mengubah suai kenderaan de­ngan memasang lampu ‘albino’ dianggap mementingkan diri sendiri.

“Pernah berdepan situasi sebegini sewaktu turun dari Cameron Highlands dan di Lebuh Raya Timur-Barat dari arah Gerik ke Kelantan. Bayangkan, mata tiba-tiba jadi silau sehingga pandangan terjejas dan tidak nak apa-apa di depan.

“Saya terpaksa menyalakan ‘high beam’ sepanjang berada di laluan kanan belakang kereta yang menggunakan lampu albino, sehingga pemandu terbabit menukar ke laluan kiri,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Fairuz Azmi, 40, pula berkata, dia pernah berada di belakang kereta menggunakan lampu ‘albino’ dan akhirnya terpaksa berhenti di tepi jalan seketika.

“Mata terasa amat perit dan tiba-tiba jadi gelap selepas cahaya terang tertusuk ke anak mata. Saya terpaksa berhentikan motosikal di tepi jalan sehinggalah pandangan pulih seperti ­sediakala.

“Bila terdedah dengan cahaya ‘albino’ dalam tempoh lama, kepala pun terasa pening sehingga menjejaskan pemanduan.

“Memang boleh naik angin kalau berdepan dengan pemilik kereta terutama yang kende­raan yang diubah suai,” ujarnya yang menggesa kerajaan menguatkuasakan larangan penggunaan lampu ‘albino’ ini.

Di Pasir Puteh, ramai pemilik kereta didapati memasang lampu itu pada kenderaan mereka.

Ramlan Ismail, 44, berkata, lampu itu kononnya akan membuatkan kereta mereka nampak lebih moden dan ‘sporty’ tanpa menyedari ia sebenarnya boleh menjejaskan pemandu di belakang pada waktu malam.

“Ia boleh kelirukan pengguna lain terutama pada waktu malam atau ketika hujan lebat.

“Lampu belakang sepatutnya merah supaya jelas isyarat membrek. Saya pernah terkena hingga terpaksa menekan brek secara mengejut semasa memandu di Jalan Bukit Yong ke Jerteh,” katanya.

Ramlan memberitahu, kea­daan itu boleh meningkatkan risiko kemalangan, khususnya di lebuh raya yang memerlukan reaksi pantas dalam pemanduan.

Di Kulim, rata-rata pengguna bimbang dengan trend tersebut.

Zahari Ahmad, 60, berkata, penggunaan lampu berkenaan amat mengganggu penglihatan terutama bagi golongan berusia sepertinya.

“Bagi saya yang sudah berumur, lampu terlalu terang ini memang menyilaukan mata, terutama waktu malam. Kadang-kadang jadi keliru bila pemandu depan tekan brek atau beri isyarat,” katanya.

Menurutnya, lampu itu menyebabkan pemandu sukar membezakan antara lampu brek, lampu malam dan lampu isyarat, sekali gus meningkatkan risiko pelanggaran dari belakang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN