JAKARTA – Harga tiket parkir bagi sebuah kereta yang tersadai selama hampir empat tahun di Lapangan Terbang Radin Inten II, wilayah Lampung kini mencecah 100 juta rupiah (RM22,813), lapor laman berita Detik.
Kereta jenis Suzuki Swift berwarna hitam itu terbiar di tempat letak kenderaan sejak 15 Jun 2022.
Ketua Polis Daerah Natar, AKP Setio Budi Howo berkata, pihaknya bersama pengurusan parkir cuba mengenal pasti identiti pemilik kenderaan tersebut tetapi gagal.
“Suzuki Swift itu masuk ke kawasan parkir pada 15 Jun 2022 dan tidak pernah keluar sampai sekarang,” kata Setio.
Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan telah dijual kepada seorang individu di Tulang Bawang, manakala pemilik pertamanya menetap di Pahoman, Bandar Lampung.
“Namun, usaha mengesan pemilik baharu gagal kerana pemilik terdahulu tidak menyimpan nombor telefon pembeli,” tambah Setio.
Pihak berkuasa lapangan terbang telah mengalihkan kenderaan tersebut ke bahagian belakang agar tidak menjejaskan kapasiti parkir. – AGENSI














