KAJANG – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Langat berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat di sini malam tadi selepas dipercayai cuba mengelak seekor haiwan melintas jalan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.13 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 56 tahun sedang memandu dari Sungai Congkak menghala ke Nilai.
“Ketika melalui Jalan Hulu Langat, mangsa mendakwa terlihat satu objek dipercayai haiwan melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
“Tindakannya mengelak objek tersebut menyebabkan dia hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terjatuh ke dalam Sungai Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Insiden itu hanya mengakibatkan kerosakan pada kenderaan dan tidak melibatkan kemalangan dengan kenderaan lain atau kerosakan harta benda awam,” ujarnya.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai laporan trafik biasa.
Naazron berkata, susulan dua kejadian seumpama itu dilaporkan di kawasan berkenaan, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika melalui laluan tersebut.
“Jika terlihat haiwan atau sebarang halangan di atas jalan, pemandu hendaklah memperlahankan kenderaan secara berperingkat dan mengelakkan tindakan mengelak secara mengejut kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah dan mengutamakan aspek keselamatan demi melindungi diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. – KOSMO! ONLINE














