KUALA LUMPUR – Sehelai kain yang terjatuh di atas pendawaian elektrik dipercayai menjadi punca kebakaran membabitkan bumbung aluminium foil di Stesen Komuter Mid Valley di sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.43 petang sebelum mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, PBK I Zakaria Shaari, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan bumbung aluminium foil dan api telah padam dengan sendirinya sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada sehelai kain yang terjatuh ke atas pendawaian elektrik sehingga terbakar, sebelum api merebak dan mengenai bumbung aluminium foil di stesen KTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa mahupun kerosakan pada struktur bangunann dengan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.32 malam tadi. – KOSMO! ONLINE














