KUALA SELANGOR – Kawasan hutan bukit seluas 0.8 hekter terbakar berhampiran sebuah sekolah rendah di Puncak Alam di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.06 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi.
“Jentera tiba pada pukul 10.34 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan bukit seluas 0.8 hektar.
“Pihak bomba sedang membina ‘firebreak’ bagi menghalang api daripada terus merebak di samping menjalankan kerja-kerja pemadaman,” katanya hari ini.
Beliau berkata, operasi tersebut turut dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terjejas dan operasi pemadaman masih diteruskan di lokasi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














