PETALING JAYA – Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan sedang memberikan bantuan yang diperlukan kepada keluarga rakyat Malaysia yang maut dalam insiden di Korea Selatan, semalam.
Kementerian Luar Negeri berkata, pihak kedutaan telah berhubung dengan waris mangsa dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya, termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan pengebumian serta penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.
Menurutnya, beberapa rakyat Malaysia turut terlibat dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Republik Korea.
“Kedutaan akan terus mendapatkan maklumat yang telah disahkan daripada pihak berkuasa Korea Selatan di samping memberikan bantuan konsular yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang terbabit, selaras dengan undang-undang negara itu serta obligasi antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan komitmennya untuk terus melindungi kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Pada masa sama, Wisma Putra mengingatkan semua rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang serta peraturan negara yang dikunjungi.
Mengulas mengenai kejadian tersebut, Wisma Putra berkata bahawa perkara berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa Republik Korea.
“Sehubungan itu, kementerian tidak akan mendedahkan butiran lanjut mengenai mangsa atau keadaan yang membawa kepada kejadian berkenaan bagi menghormati siasatan yang masih berjalan serta privasi keluarga mangsa,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Shah Ahmad Ros berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas cedera parah akibat ditikam di bahagian badan termasuk perut.
Susulan kejadian itu, polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. KOSMO! ONLINE














