fbpx
Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi saran KPM ikut model MRSM tangani buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mempertimbangkan pelantikan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di sekolah dengan mencontohi pelaksanaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakya (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, model yang dilaksanakan pihaknya itu terbukti berjaya mengekang gejala buli serta meningkatkan disiplin pelajar.

Katanya, Mara bersedia berkongsi hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai keberkesanan projek rintis pelantikan warden luar sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di yang dilaksanakan selama sembilan bulan.

Menurutnya, dapatan kajian itu membuktikan pendekatan berkenaan berjaya meningkatkan disiplin pelajar, memperkukuh aspek keselamatan serta memberi impak positif terhadap pencapaian akademik.

“Antara dapatan utama sepanjang tempoh pelaksanaan, sifar kes buli direkodkan dengan tahap disiplin pelajar meningkat. Pemantauan lebih konsisten serta tindak balas terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar lebih pantas.

“Selain itu, suasana asrama lebih selamat, kemas dan kondusif. Memberi kesan positif kepada para guru yang tidak lagi terbeban dengan tugas warden sebaliknya fokus kepada tugas hakiki mengajar dan mendidik pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pencapaian akademik pelajar turut meningkat, selain maklum balas pelajar sangat positif berdasarkan tinjauan dan lawatan di lapangan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, bekas tentera memiliki kriteria yang sesuai untuk memegang peranan sebagai warden kerana berpengalaman dalam aspek disiplin dan keselamatan, mempunyai tahap kesihatan yang baik serta mampu bertindak pantas ketika situasi berisiko.

Menurutnya, mereka juga tegas tetapi berhemah, mempunyai sifat empati, kemahiran komunikasi yang baik serta mampu menjadi teladan kepada pelajar.

“Gabungan elemen ketegasan dan nilai keibubapaan menjadikan mereka bukan sekadar warden, malah pembimbing dan pendidik kepada anak-anak di asrama,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kejayaan projek rintis itu, Mara telah memperluaskan pelaksanaan inisiatif tersebut ke 10 lagi MRSM pada bulan lalu sebagai langkah pengukuhan awal sebelum diperluaskan ke semua 58 MRSM seluruh negara bermula Januari depan.

Beliau menambah, Mara turut meminta pasukan penyelidik UPM yang diketuai Prof. Dr. Haslinda membangunkan modul latihan khusus kepada bakal warden.

“Modul ini akan memberi penekanan bukan saja kepada aspek disiplin dan keselamatan tetapi pembentukan nilai kemanusiaan, empati dan keibubapaan agar mereka benar-benar menjiwai peranan mentarbiah anak-anak MRSM seperti ibu bapa di asrama selari dengan Falsafah Pendidikan Mara,” katanya.

Beliau berkata, ramai bekas anggota tentera menamatkan perkhidmatan sekitar umur 38 hingga 45 tahun dan dalam usia masih produktif, sudah tentu boleh dimanfaatkan untuk menyertai pula sektor pendidikan khususnya membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar.

“Selain itu, ia antara alternatif boleh menyelesaikan isu kebajikan veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia), khususnya veteran tidak berpencen, yang sering dibangkitkan.

“Mereka menamatkan khidmat ketika masih produktif tetapi tidak semua menikmati pencen bulanan, bergantung kepada tempoh perkhidmatan yang diiktiraf,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN