PORT DICKSON – Pengumuman kerajaan untuk meningkatkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (Sara) disambut baik penerima yang berharap langkah itu dapat meringankan lagi beban kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas dan mereka yang berdepan masalah kesihatan.
Tinjauan mendapati rata-rata penerima mengharapkan kadar bantuan dinaikkan sekali ganda atau sekurang-kurangnya tambahan RM100 sebulan supaya mereka dapat membeli lebih banyak barangan keperluan asas untuk keluarga.
Bagi suri rumah, Zuliana Kamaruddin, 36, bantuan Sara yang diterimanya banyak membantu mengurangkan beban menyediakan keperluan harian terutama untuk tiga orang anak.
“Setiap bulan saya perlu mengutamakan perbelanjaan makanan dan keperluan anak-anak,” katanya.
Warga emas, Kau Ah Moui, 75, berkata, bantuan berkenaan menjadi sumber penting selepas pendapatan bulanannya berkurangan sejak tidak lagi bekerja.
“Setiap bulan saya gunakan bantuan ini untuk membeli keperluan asas seperti beras, telur, gula, teh dan susu. Ia membantu saya membeli barangan asas tanpa perlu mengurangkan keperluan lain dan saya berharap kerajaan tambah lagi bantuan kepada rakyat untuk hidup lebih selesa,” katanya.
Pesakit strok, A. Subramaniam Arumusam, 60, pula berkata, setiap ringgit bantuan yang diterima amat bermakna bagi memastikan keluarganya terus mempunyai bekalan makanan.

“Dengan kos hidup yang semakin meningkat, bantuan ini membantu saya memastikan anak-anak tidak terputus bekalan makanan,” katanya.
Pembantu kedai, Mohammad Abdullah, 40, berkata bantuan Sara yang diterimanya setiap bulan digunakan sepenuhnya untuk membeli keperluan asas harian.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menaikkan kadar sumbangan Sara dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi, termasuk pelaksanaan Sara yang diperkenalkan pada Julai 2023 sebagai sebahagian daripada reformasi sistem bantuan tunai kerajaan.














