DALAM dunia yang bergerak pantas dan semakin kompleks dengan tekanan menyebabkan ramai manusia hilang punca serta pedoman hidup sehingga bukan sahaja sanggup menyakiti diri sendiri tetapi orang sekeliling.
Antara yang menjadi punca tekanan mental ialah kos sara hidup, bebanan kerja, konflik rumah tangga dan pengaruh media sosial yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan psikologi masyarakat pada masa kini.
Sehinggakan di sekeliling kita ramai yang didiagnosis dengan pelbagai tekanan dan masalah mental. Dikhuatiri jumlahnya bertambah lebih ramai tetapi tidak direkodkan kerana tidak mendapatkan bantuan pakar.
Pegawai Psikologi Kanan (Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi), Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, peranan kaunseling jauh lebih besar daripada sekadar memberi nasihat.
“Kaunseling merupakan satu proses bantuan profesional yang berasaskan teori psikologi, penyelidikan saintifik, kemahiran terapeutik dan kod etika yang ketat.
“Seorang kaunselor tidak berperanan menentukan jalan hidup klien atau memutuskan apa yang perlu dilakukan.
“Sebaliknya, kaunselor bertindak sebagai fasilitator yang membantu klien memahami dirinya, mengenal pasti punca sebenar masalah, mengurus emosi dengan lebih baik dan membuat keputusan secara rasional serta bertanggungjawab,” katanya.
Ujarnya, perbezaan ketara antara nasihat dan kaunseling ialah pendekatannya apabila nasihat lahir daripada pengalaman peribadi atau kepercayaan seseorang.
Namun katanya, ia tidak semestinya memenuhi keperluan individu berdepan konflik emosi atau psikologi.
“Kaunseling pula merupakan proses sistematik yang memberi ruang kepada klien meneroka pemikiran, emosi dan tingkah laku tanpa rasa takut dihukum atau dipersalahkan.
“Seorang kaunselor profesional tidak tergesa-gesa menawarkan penyelesaian. Sebaliknya, mereka menggunakan kemahiran seperti mendengar secara aktif, refleksi, penjelasan, penyoalan terapeutik dan pelbagai pendekatan psikologi bagi membantu klien menemui jawapan yang paling sesuai dengan nilai, keupayaan dan realiti kehidupannya sendiri.
“Pendekatan ini bukan sahaja menyelesaikan masalah semasa, malah meningkatkan keupayaan individu menghadapi cabaran pada masa hadapan,” ujarnya.
Sebagai contoh, seorang pekerja mungkin datang dengan aduan dirinya sudah hilang motivasi dan ingin berhenti kerja. Jika sekadar diberi nasihat, mungkin dia disuruh bercuti, mencari pekerjaan baharu atau bersabar.
Namun melalui proses kaunseling, masalah sebenar mungkin berpunca daripada keletihan melampau, konflik dengan penyelia, tekanan prestasi, gangguan kebimbangan atau krisis identiti kerjaya.
Apabila punca sebenar dikenal pasti, intervensi yang lebih tepat dapat dirancang.
Siti Fatimah berkata, ramai yang masih beranggapan hanya individu mengalami gangguan mental memerlukan kaunseling.
“Hakikatnya, sesi kaunseling juga membantu individu yang ingin meningkatkan kesejahteraan hidup, membina keyakinan diri, mengurus tekanan, memperbaiki hubungan kekeluargaan, meningkatkan prestasi kerja dan membuat keputusan penting dalam kehidupan,” katanya.














