Ketika bertugas sebagai wartawan Meja Jenayah pada 8 September 2010, saya diarah membuat liputan sidang akhbar Tan Sri Musa Hassan yang akan bersara sebagai Ketua Polis Negara.
Sebagai wartawan muda, saya mengakui gerun setiap kali berdepan dengan Musa. Anak kepada tokoh agama, Tan Sri Hassan Azhari itu dikenali ramai sebagai seorang individu yang lantang bersuara.
Seminggu menjelang hari persaraannya, Musa pernah mendedahkan mengenai campur tangan pihak ketiga dan arahan daripada pihak luar yang dibuat tanpa pengetahuannya.
Namun yang paling saya ingat tentang Musa adalah pesanan beliau kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak sekali-kali menjadi ‘peminta sedekah’.
Katanya, sebagai pasukan berintegriti, setiap anggota dan pegawai perlu menjaga maruah yang diamanahkan.
“Tugas sebagai polis memang banyak cabaran kerana sentiasa dikritik. Biar kita dikritik asalkan kita menjalankan tugas. Maruah PDRM perlu dijaga, kita bukan peminta sedekah (minta rasuah). Kita diwujudkan untuk menjaga keselamatan negara,” kata Musa.
Walaupun bukannya bergelar pegawai polis, kata-kata beliau sentiasa menjadi pegangan penulis hingga kini.
Jadi, apabila ada anggota atau pegawai yang terpalit dengan kes rasuah atau salah guna kuasa sudah tentu kita berasa terkilan apatah lagi jika mereka sudah berkhidmat selama berpuluh tahun dalam pasukan.
Kadangkala wang sogokan yang diterima tidak seberapa sekiranya dibandingkan dengan akibat yang terpaksa ditanggung.
Wang pencen hilang entah ke mana, diri sendiri dan keluarga pun mendapat malu sekiranya didapati bersalah.
Dalam pertemuan dengan salah seorang pegawai tertinggi (kini bersara) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, beliau pernah menekankan tentang amanah dan kejujuran dalam pekerjaan.
Katanya, pekerjaan itu tidak datang dengan sendirinya, sebaliknya kita yang memilih pekerjaan tersebut.
Kita yang memilih jawatan dan majikan bermula daripada proses temu duga sehinggalah berjaya diterima sebagai pekerja sama ada berstatus kontrak atau tetap. Jadi jagalah amanah tersebut dengan sebaiknya.
Setiap kali pengambilan dibuka, puluhan ribu graduan atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berebut untuk mencuba nasib, namun hanya mereka yang benar-benar layak yang akan diserap sebagai kakitangan.
Jadi tidak kira apa jua bidang pekerjaan yang diceburi, jadilah seorang pekerja yang jujur, bertanggungjawab dan sentiasa bersyukur lebih-lebih lagi jika berkhidmat dalam pasukan barisan hadapan yang sentiasa berunding dengan orang ramai.














