PETALING JAYA – Pengguna Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) berdepan kesesakan luar biasa sejauh beberapa kilometer susulan kemalangan melibatkan sebuah lori dan motosikal di Kilometer 5.7 berhampiran Bulatan Selangor, di sini pagi ini.
Maklumat trafik pada pukul 7.30 pagi memaklumkan aliran trafik sesak dari Kemuning Bayu menghala ke pusat bandar Shah Alam akibat nahas tersebut.
Terdahulu, pada pukul 7.04 pagi, pengguna lebuh raya turut dimaklumkan perlu menjangkakan kelewatan sehingga 40 minit dari Plaza Tol Sri Muda ke pusat bandar Shah Alam.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna meluahkan rasa kecewa apabila terperangkap dalam kesesakan yang disifatkan luar biasa.
Seorang pengguna, @zlaikhazlhshm, mendakwa kenderaannya hanya bergerak kira-kira 200 meter selepas menunggu selama 40 minit di Plaza Tol Sri Muda.
“Dah 40 minit baru gerak 200 meter dari tol. Nak hantar adik-adik ke sekolah pun tersekat,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @emaurea__, turut mempersoalkan punca kesesakan yang didakwa bermula berhampiran Balai Bomba Seksyen 24 sehingga ke Tol Alam Impian. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














