IPOH – Kementerian Komunikasi akan mengambil langkah menasihati terlebih dahulu mana-mana pihak yang memuat naik kandungan tidak tempat berkaitan kemerdekaan atau mengibarkan secara salah sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, biarpun terdapat peruntukan undang-undang membabitkan perkara tersebut, pihaknya akan menegur dahulu pihak yang didapati melakukan kesalahan itu.
“Ada akta tersendiri tetapi kita ambil langkah pertama iaitu menasihati. Kita akan menghubungi mana-mana pihak yang tersalah menghasilkan kandungan atau mengibarkan bendera untuk menasihati mereka supaya memperbetulkan (kesalahan).
“Sekiranya tidak diperbetulkan atas apa-apa sebab, kemudian kita akan teliti apa tindakan susulan yang wajar diambil tetapi kita akan mulakan dengan menasihatkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) di Tanjung Rambutan di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kandungan tidak tepat berkaitan hari kemerdekaan seperti imej Jalur Gemilang yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini akan disemarakkan menerusi pelbagai pengisian dan program yang melibatkan penyertaan seluruh lapisan masyarakat.
“Antaranya ialah pelaksanaan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang diteruskan sebagai wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta membawa mesej perpaduan dan cintakan negara lebih dekat kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air.
“Walaupun sambutan tahun ini dilaksanakan secara berhemah dengan mengoptimumkan sumber yang ada, semangat patriotisme dan penghayatan terhadap erti kemerdekaan tetap menjadi keutamaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














