fbpx
Sebahagian tangkap layar status 'rakyat Threads' yang menjadi kebiasaan sekarang ini.

Bila aib jadi kandungan Threads

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dahulu kalau berlaku pergaduhan suami isteri atau perselisihan dengan mentua, orang tua-tua akan berpesan, “jangan dibawa keluar rumah.”

Hari ini, air mata belum kering bergaduh dengan pasangan, kisah itu sudah pun berada di Threads untuk dibaca ribuan orang.

Lebih mengejutkan, ada yang siap meminta netizen menjadi hakim, juri dan kaunselor secara percuma.

Ayat yang paling banyak diberikan olah ‘rakyat Threads adalah, ‘minta cerai sis’ atau ‘you deserve better’ (awak patut dapat lebih layak).

Aplikasi media sosial sepatutnya menjadi ruang berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan, namun sejak kebelakangan ini Threads seolah-olah bertukar menjadi diari terbuka yang memaparkan segala kisah keluarga dan dalam kain tanpa sebarang tapisan.

Semakin pelik sesuatu cerita, semakin tinggi pula jumlah tontonan dan komen yang diterima.

Paling menghairankan apabila perkara berkaitan hubungan intim suami isteri atau hal peribadi wanita yang suatu ketika dahulu dianggap terlalu peribadi kini ditanya secara terbuka.

Soalan yang sepatutnya dibincangkan bersama pasangan atau dirujuk kepada pakar, akhirnya dijadikan bahan bacaan seluruh negara.

Tidak cukup dengan itu, ibu mentua turut dijadikan sasaran. Ada yang menulis panjang lebar mengenai perangai mentua, ipar-duai malah pasangan sendiri sehingga semua kelemahan keluarga menjadi santapan netizen.

Esok lusa apabila hubungan kembali pulih, hantaran itu tetap kekal berlegar di alam digital.

Lebih membimbangkan apabila budaya membuka aib ini bukan lagi sesuatu yang memalukan, sebaliknya dianggap normal.

Ramai pula memberikan galakan dengan komen seperti “teruskan bercerita” atau “kami nak tahu sambungan.” Seolah-olah kehidupan orang lain ialah drama bersiri yang wajib diikuti setiap hari.

Kemajuan teknologi tidak pernah salah. Yang menjadi masalah ialah cara manusia menggunakannya. Kebebasan bersuara tidak bermaksud semua perkara mesti dikongsikan kepada umum. Masih ada batas yang perlu dihormati.

Masyarakat juga perlu kembali menghidupkan budaya menjaga aib, bukan untuk melindungi kesalahan, tetapi untuk memelihara maruah diri dan keluarga, tidak semua cerita layak dijadikan kandungan demi mengejar perhatian.

Pengguna media sosial juga perlu sedar bahawa tidak semua komen yang diterima datang daripada mereka yang benar-benar ingin membantu, ada yang sekadar mahu menyemarakkan konflik serta menjadikan kisah orang lain sebagai hiburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN