BUDAYA kerja yang gemar menyalahkan, memalukan dan menghukum pekerja boleh menyebabkan mereka memilih untuk menyembunyikan tekanan, kesilapan serta masalah kesihatan mental yang sedang dihadapi.
Keadaan itu bukan sahaja melambatkan usaha mendapatkan bantuan profesional, malah boleh memburukkan kesejahteraan pekerja serta menjejaskan prestasi dan keselamatan sesebuah organisasi.
Sebaliknya, organisasi yang benar-benar mesra kesihatan mental perlu memastikan pekerja berasa selamat untuk bersuara, mengakui kesilapan dan meminta bantuan tanpa bimbang dilabel lemah.
Pakar Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias berkata, rasa selamat dari segi psikologi atau ‘psychological safety’ merupakan antara petunjuk paling penting bahawa sesebuah organisasi benar-benar menjaga kesejahteraan pekerjanya.
“Pekerja perlu berasa selamat untuk bersuara tanpa takut dipersalahkan, dihukum atau dipermalukan oleh pihak atasan dan rakan sekerja.
“Apabila pekerja sentiasa takut melakukan kesilapan atau menyuarakan masalah, mereka akan lebih cenderung berdiam diri dan menyembunyikan perkara sebenar,” katanya.
Menurut beliau, budaya menyalahkan juga boleh menyebabkan kesilapan di tempat kerja tidak dilaporkan, sekali gus menutup ruang untuk organisasi mengenal pasti kelemahan dan melakukan penambahbaikan.
Katanya, kesilapan seharusnya dilihat sebagai peluang untuk belajar dan memperbaiki sistem, bukannya semata-mata mencari individu yang boleh dipersalahkan.
“Pemimpin perlu mengamalkan komunikasi yang terbuka, jujur dan penuh hormat, manakala maklum balas pula mesti diberikan secara membina, bukan menghukum.
“Cara seseorang ketua memberi teguran boleh menentukan sama ada pekerja akan terus terbuka atau memilih untuk menyembunyikan masalah,” katanya.
Dr. Alizi yang juga merupakan jurulatih bertauliah HRD Corp berkata, beban kerja yang tidak realistik, pembahagian tugas yang tidak adil serta kegagalan menghormati waktu rehat dan cuti turut menjadi petanda organisasi tidak benar-benar mengambil berat tentang kesihatan mental pekerja.
Menurutnya, pekerja juga perlu diberikan autonomi yang bersesuaian dengan peranan dan kompetensi mereka supaya tidak berasa terlalu dikawal atau hilang kepercayaan terhadap kebolehan sendiri.
“Penghargaan terhadap sumbangan pekerja perlu diberikan secara adil dan konsisten, manakala gangguan, buli, diskriminasi serta tingkah laku toksik tidak boleh dikompromi.
“Kesihatan mental tidak boleh sekadar dijadikan slogan, kempen atau program bermusim, tetapi mesti diterjemahkan dalam dasar, amalan dan tingkah laku harian organisasi,” katanya.
Beliau berkata, persekitaran kerja yang tidak selamat juga boleh menyebabkan pekerja mengambil masa lebih lama untuk mengakui mereka memerlukan bantuan psikologi atau rawatan profesional.
Katanya, ada pekerja yang bimbang permohonan mendapatkan rawatan, cuti atau sokongan akan menyebabkan mereka dinilai negatif, dianggap tidak produktif atau diketepikan daripada kenaikan pangkat.
“Apabila pekerja yakin mereka tidak akan dihukum atau dilabel kerana meminta bantuan, mereka lebih berkemungkinan mendapatkan sokongan lebih awal dan meneruskan proses rawatan yang memerlukan komitmen.
“Organisasi yang sihat dari segi psikologi bukan sahaja melindungi kesejahteraan pekerja, malah meningkatkan motivasi, penglibatan pekerja, inovasi,” katanya.















