KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir majikan memalsukan dokumen bagi membuat tuntutan insentif Daya Kerjaya berjaya dikesan hasil risikan dan siasatan dalaman Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sekitar penghujung 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, modus operandi itu dikesan selepas AFEI menjalankan risikan di lapangan, sebelum maklumat terperinci membabitkan 426 majikan disyaki terlibat diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2025.
“Saya mengarahkan AFEI untuk bekerjasama dengan SPRM sehingga menyaksikan tangkapan besar-besaran dilaksanakan menerusi Op Daya pada 9 Jun lalu.
“Keberhasilan operasi yang membongkar kegiatan tuntutan palsu ini adalah hasil pelaksanaan tatakelola sedia ada di Perkeso, dengan dibantu kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Tindakan proaktif ini berjaya menyelamatkan dana insentif Daya Kerjaya berjumlah RM5.33 juta, selain tambahan RM1.5 juta lagi dana sama yang dikembalikan oleh majikan selepas mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Perkeso turut memperkukuh usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan dasar Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM, selain menjalin kerjasama berterusan bagi menambah baik proses berkaitan.
Tambahnya lagi, pendekatan strategik bersama SPRM akan diteruskan bagi memastikan tiada ruang untuk kegiatan penipuan dan tuntutan palsu berlaku pada masa hadapan.
“Saya tidak akan berkompromi dengan mana-mana dalang yang terbabit atau bersekongkol dalam jenayah tuntutan palsu, termasuk jika melibatkan anggota dalaman Perkeso.
“Perkeso kekal komited untuk memperkukuh integriti demi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan manfaat kepada pencarum, majikan serta rakyat Malaysia,” katanya. -KOSMO! ONLINE















