SHAH ALAM- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan 667 aset sebagai persediaan awal menghadapi risiko kebakaran susulan fenomena Super El Nino yang dijangka bermula November ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, aset terbabit telah diarahkan ditempatkan di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berdepan cuaca panas dan kering.
“Antara aset yang telah digerakkan seperti jentera water tanker, fire rescue tender dan mesin pam mudah alih.
“Biasanya pam itu gunakan untuk terutama untuk kebakaran hutan kerana terdapat lokasi yang sukar dimasuki jentera bomba,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGAR) 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, kesan Super El-Nino dijangka mula dirasai di negara ini seawal Januari tahun depan dengan Perlis, Kedah dan utara Sabah antara kawasan yang dijangka menerima impak lebih awal.
Sehubungan itu, katanya, semua ketua zon JBPM di seluruh negara telah diarahkan memperkemaskan pelan kesiapsiagaan termasuk mengenal pasti kawasan panas serta menyusun atur aset mengikut keperluan operasi.
“Beberapa kawasan dijangka merekodkan penurunan hujan yang ketara pada Mac dan April tahun depan.
“Di peringkat daerah, saya minta balai bomba untuk bekerjasama dengan JPS (Jabatan Pengaliran dan Saliran), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan Jabatan Perhutanan setiap negeri sekiranya berlakunya kebakaran hutan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE















