PETALING JAYA – Negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan dan kad sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-101 hari ini.
Menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook rasminya, bekas Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih atas segala ingatan serta doa yang diterimanya sempena hari istimewa tersebut.
“Assalamualaikum. Saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang hantar mesej berkenaan dengan hari kelahiran saya yang ke-101 pada hari ini.
“10 hari bulan, saya meningkat kepada 101 tahun umur dan saya terima banyak kad-kad (ucapan ‘happy birthday’, selamat hari jadi dan saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua,” katanya ringkas dalam rakaman video berkenaan.
Terdahulu, akaun Instagram rasmi beliau, @chedetofficial turut memuat naik poster khas yang memaparkan potret beliau bersama angka ‘101’ berwarna keemasan serta tanda pagar #Mahathir101.
Hantaran tersebut menerima puluhan ribu tanda suka selain dibanjiri ucapan tahniah, doa serta penghargaan daripada orang ramai yang menzahirkan rasa hormat terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada negara.
Dr. Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah dan merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat serta ketujuh.
Beliau mencipta sejarah apabila kembali menerajui negara pada 2018 pada usia 92 tahun, sekali gus menjadi antara ketua kerajaan tertua di dunia ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dijadual menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pada Ahad ini. – KOSMO! ONLINE















