fbpx
Mohammed Azman pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

Ada syarikat ambil pekerja supaya dapat subsidi, kemudian berhentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memperkukuh mekanisme pemantauan dan kawalan dalaman bagi menutup sebarang ruang penyelewengan susulan pendedahan penipuan yang sedang disiasat menerusi Ops Daya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr l. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, siasatan mendapati sebahagian syarikat disyaki mengambil kakitangan bagi mendapatkan subsidi kerajaan sebelum menamatkan perkhidmatan pekerja itu sebaik tempoh insentif berakhir.

Beliau berkata, penyelewengan itu sukar dikesan pada peringkat awal kerana syarikat terbabit memenuhi semua syarat yang ditetapkan termasuk berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan membuat caruman Perkeso untuk pekerja.

“Jika dilihat dari aspek pemantauan data, semuanya kelihatan teratur. Mereka (syarikat) berdaftar dengan SSM dan membuat caruman Perkeso. Apabila kedua-dua syarat itu dipenuhi, pembayaran subsidi diteruskan.

“Namun, yang meragukan adalah apabila pekerja diberhentikan sebaik sahaja tempoh subsidi tamat,” katanya pada sidang akhbar Ops Daya bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan terhadap pola penggajian mencurigakan itu mendorong pihaknya melakukan siasatan di lapangan bagi mendapatkan gambaran sebenar.

Siasatan yang turut dibantu pemberi maklumat (whistleblower) mendapat petunjuk berlakunya unsur penipuan dalam tuntutan insentif berkenaan.

“Siasatan mengambil masa lapan bulan sebelum maklumat lengkap disalurkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata, setakat ini dua insentif diperkenalkan iaitu Daya Kerjaya 1.0 yang menawarkan subsidi RM600 sebulan selama tiga bulan dan Daya Kerjaya 2.0 membabitkan subsidi RM1,500 selama enam bulan.

Sehubungan itu, katanya, Perkeso akan meneliti cadangan dan syor yang dikemukakan SPRM bagi menambah baik sistem sedia ada supaya tiada lagi ruang yang boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN