fbpx
Mohd. Iman Nafiz ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini bagi pendakwan pertuduhan membunuh.

Pramugara didakwa membunuh, berdepan hukuman lebih berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pramugara yang didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana menyebabkan kematian pekerja penyelenggaraan pada Isnin lalu dituduh semula di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.

Tertuduh, Mohd. Iman Nafiz Fong Mohd. Sabirin, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret MS Arunjothy.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa membunuh Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen di sini pada pukul 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Anif Rafih.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada Isnin lalu, Mohd. Iman mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian ke atas Faris Irfan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu kereta jenis Ford Focus Sport dengan alkohol sebanyak 64 miligram(mg)/100 mililiter (ml) dalam darah, melebihi had ditetapkan iaitu 50mg/100ml dan menyebabkan kematian ke atas Faris Irfan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) APJ 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun hingga 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun bermula dari tarikh sabitan.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh berdepan pertuduhan memandu kereta dan kandungan alkohol sama dengan menyebabkan kecederaan ke atas seorang lagi mangsa, Ahmad Zakiyamani Zakaria@Yusuff, 49.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 44(1a)(b) akta sama yang boleh dihukum di bawah seksyen 44(1a)(b).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang penyelia kerja pemasangan papan tanda maut selepas dirempuh kereta yang dipercayai hilang kawalan di Lebuh Raya Sultan Iskandar di sini.

Mangsa yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala seorang lagi pekerja berusia 49 tahun cedera di kepala dan tangan kanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN