fbpx
Ramanan ketika Sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat hari ini.FOTO JAPEN

Dewan Rakyat: Perkeso capai kepatuhan lebih 96 peratus proses tuntutan faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat purata kepatuhan melebihi 96 peratus bagi tempoh pemprosesan tuntutan dan bayaran faedah kepada pencarum sepanjang tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pencapaian itu dicatat selepas Perkeso memperketatkan Piagam Pelanggan bermula tahun lalu melibatkan semua faedah di bawah Skim Lindung Pekerja, Skim Lindung Kendiri dan Skim Lindung Kasih.

“Tempoh pemprosesan ditetapkan selama dua hari bagi Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Hilang Upaya Sementara, manakala tiga hari bagi Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Pencen Ilat, Faedah Penakat dan Faedah Orang Tanggungan selepas dokumen lengkap diterima.

“Bagi Skim Lindung Kerjaya pula, Piagam Pelanggan menetapkan tempoh dua hari untuk semua faedah dan pencapaian keseluruhan proses tuntutan serta bayaran faedah mencatat kadar 99.68 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) mengenai tempoh rasmi pemprosesan tuntutan Perkeso, tahap pematuhan dan penggunaan pendigitalan dalam mempercepatkan proses tuntutan pencarum.

Ramanan berkata, Perkeso terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatannya menerusi pelbagai inisiatif pendigitalan termasuk portal Lindungi Faedah Perkeso dan sistem pemprosesan dalaman baharu, 1Best yang digunakan sepenuhnya mulai tahun ini.

Katanya, aplikasi Prihatin turut diperkenalkan bagi memudahkan pencarum mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan Perkeso .

“Skuad Perkeso Prihatin (SPP) juga diwujudkan bagi memberi khidmat nasihat, bimbingan dan bantuan terus kepada pencarum, waris serta orang berinsurans untuk melancarkan urusan tuntutan,” ujarnya.

Mengulas cadangan mewujudkan laluan pantas bagi kes kemalangan, beliau berkata sistem INSPIRE yang menghubungkan hospital dengan Perkeso telah diperkukuhkan bagi mempercepatkan proses tuntutan.

“Bagi kes kecemasan, proses dipermudahkan dan boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Sementara itu, mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan tuntutan palsu, Ramanan menjelaskan teknologi tersebut digunakan sebagai saringan awal sebelum setiap permohonan menjalani semakan manual bagi memastikan ketepatan dan ketulenan tuntutan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN