fbpx
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam (tengah) bersama ADB dan utiliti Indonesia di Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU)

IWK dilantik mentor pengurusan air sisa Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. terus mengukuhkan peranannya di peringkat serantau apabila dilantik oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) sebagai mentor kepada tiga utiliti pengurusan air sisa kumbahan di Indonesia.

Pelantikan tersebut dilaksanakan di bawah program Water Organizations Partnerships for Resilience (WOP4R) yang turut mendapat sokongan daripada Bill & Melinda Gates Foundation serta Japan Special Fund.

Kerjasama strategik selama 16 bulan itu dimeterai menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADB, IWK, dan tiga utiliti dari republik berkenaan iaitu Dinas Pekerjaan Umum (PU) Kota Makassar, Dinas Pekerjaan Umum dan Penataan Ruang (PUPR) Kota Jambi, serta Dinas PUPR Kota Pekanbaru.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pelantikan tersebut mencerminkan pengiktirafan serantau yang semakin meningkat terhadap kepakaran IWK dalam membangunkan perkhidmatan pengurusan air sisa yang mampan dan berdaya tahan.

“Selama lebih tiga dekad, IWK telah diberi amanah untuk menguruskan sistem pembetungan Malaysia. Sepanjang tempoh tersebut, kami telah mempelajari bahawa membina sebuah organisasi yang berdaya tahan bukan sekadar melibatkan pembangunan infrastruktur, malah memerlukan tenaga kerja yang berkeupayaan, sistem yang berkesan, kerjasama yang kukuh serta komitmen terhadap pembelajaran berterusan.

“Kami berbesar hati diberi kepercayaan untuk berperanan sebagai mentor utiliti kepada Makassar, Jambi, dan Pekanbaru. Pelantikan ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran IWK, malah turut membuka tanggungjawab untuk membantu memperkukuh sektor pengurusan air sisa di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Narendran turut menambah bahawa menerusi perkongsian ilmu pengetahuan dan pembangunan keupayaan serta pembelajaran bersama, usaha itu mampu memperkukuh institusi, memperkasa modal insan, dan memberikan manfaat yang berkesan kepada komuniti setempat.

Menerusi program fasa kedua WOP4R ini, IWK akan menyediakan sokongan teknikal, bimbingan, serta perkongsian pengetahuan bagi membantu ketiga-tiga utiliti Indonesia tersebut melaksanakan pelan tindakan masing-masing.

Ketiga-tiga utiliti air sisa Indonesia tersebut merupakan penerima manfaat di bawah Metropolitan Sanitation Management Investment Project yang dibiayai oleh ADB bagi menyokong pembangunan sistem pembetungan berpusat serta loji rawatan air sisa kumbahan di bandar-bandar berkenaan. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN