SHAH ALAM – Penganjur Festival Memancing Agro Selangor @ Shah Alam 2026 memohon maaf berhubung isu pelepasan ikan patin Siam di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam di sini, Ahad lalu.
Jawatankuasa penganjur program itu memaklumkan, ini selepas pihaknya menerima teguran dan penjelasan daripada pihak berkuasa yang memaklumkan ikan yang dilepaskan itu merupakan spesies ikan asing.
Menurutnya, segala teguran dan pandangan diterima pihaknya dengan hati terbuka dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan itu.
“Beberapa tindakan segera akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko terhadap ekosistem tasik selaras arahan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor.
“Ia antaranya memasang jaring di semua laluan keluar dan masuk air Tasik Barat bagi menghalang patin siam daripada keluar ke sistem perairan lain,” katanya hari ini.
Jawatankuasa itu turut memaklumkan penganjur akan melaksanakan aktiviti penyisihan sepenuhnya menggunakan kaedah pemasangan jaring bagi menangkap, mengenal pasti dan mengeluarkan ikan patin Siam daripada tasik berkenaan.
“Ikan patin Siam yang berjaya menaikkan peserta pertandingan akan dikeluarkan dan tidak akan dilepaskan semula ke dalam tasik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















