fbpx
Seronok memancing ikan cencaru menggunakan Carolina rig kerana boleh berlawan sesama sendiri siapa paling banyak dapat ikan.

Pancing ikan cencaru guna Carolina rig

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Teknik pancing Carolina rig mula menarik minat ramai pemancing di Malaysia termasuk saya yang turut mencubanya. Kali ini, sasaran utama kami adalah ikan cencaru di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kelantan.

Walaupun saiz cencaru yang mendiami kawasan pesisir pantai tidaklah sebesar yang dipancing di kawasan unjam di tengah laut, namun ia mampu memberi tentangan menyeronokkan apabila menggunakan set pancing ultra light.

PCB merupakan antara lokasi pilihan kami untuk memburu ikan cencaru ini. Kebiasaannya, setiap tahun, dari bulan April hingga Oktober, ikan cencaru akan menghampiri kawasan pesisir pantai.
Sebahagian kecil daripada kumpulan ikan cencaru ini akan berenang masuk ke dalam muara sungai dan bergerak naik hingga ke kawasan yang masih dipengaruhi air masin.

Pantai Cahaya Bulan

Di PCB, ikan cencaru sering ditemui menghimpit tepi laut ketika ‘air kecil’ iaitu keadaan pasang surut laut yang tidak terlalu besar.

Ketika air mula pasang atau surut dan arus bergerak perlahan, kumpulan ikan cencaru ini akan bergerak menghampiri pantai untuk mencari makanan yang dibawa oleh arus.

Faktor inilah yang menyebabkan ramai pemancing melihat jadual pasang surut air terlebih dahulu barulah mereka akan ke tepi pantai atau tambak berbatu untuk meman­cingnya.

Ikan cencaru juga terkenal sebagai ikan sajian yang digemari ramai. Ia sesuai dimasak pelbagai resipi se­perti cencaru goreng berlada, cencaru sumbat dan cencaru bakar.

Walaupun boleh sahaja memancing ikan cencaru menggunakan apollo, namun lebih mudah menggunakan Carolina rig kerana tidak merumitkan.

Malah, ada mengeringkannya untuk dijadikan ikan masin yang kemudiannya dimasak gulai lemak cukup enak dimakan bersama nasi panas dan sambal belacan.

Apa itu Carolina rig?

Carolina rig sebenarnya telah wujud pada lewat tahun 1970 lagi oleh komuniti pemancing di Amerika Syarikat terutamanya untuk memancing ikan largemouth bass.

Lama-kelamaan, teknik ini mula meluas ke seluruh dunia dan ia digunakan di negara kita untuk memancing ikan peacock bass, haruan, sebarau, siakap putih, siakap merah dan pelbagai lagi.

Carolina rig untuk pancingan ikan cencaru ini mudah sahaja dibuat, hanya perlu sediakan batu ladung hidup saiz 3 atau 4, satu manik kecil dan satu rolling swivel.

Perambut pula biasanya kami guna antara 4 hingga 6lb, panjang antara setengah depa ke satu depa.

Satu mata kail saiz kecil diikat di hujung perambut dan satu soft plastic saiz mikro akan disematkan di mata kail.

Inilah rupa Carolina rig yang kami gunakan, hujung perambut diikat satu mata kail saiz kecil dan disemat satu soft plastic saiz mikro.

Masukan batu ladung pada tali utama, kemudian masukan pula manik kecil, selepas itu ikat hujung tali utama pada rolling swivel.

Kemudian, ikat tali perambut pada rolling swivel, panjang perambut
terpulang kepada pilihan ma­­sing-masing mengikut kesesuaian cara lontaran, kerana lebih panjang perambut, lebih panjang joran perlu digunakan.

Persembahan

Biasanya, Carolina rig dimainkan dengan mengaraunya perlahan supaya soft plastic dapat berenang dengan gaya yang realistik.

Berbeza pula untuk ikan cencaru, selepas melontar, kami akan biarkan batu ladung mencecah dasar.

Kemudian, tali akan dikarau dengan hujung joran tegak ke atas sambil menyentaknya dua hingga tiga kali.
Kemudian, Carolina rig akan dibiarkan tenggelam semula ke dasar.

Ulang proses yang sama sehinggalah ia kembali semula ke pemancing.

Cara ini menghasilkan pergerakan soft plastic seperti ikan kecil yang panik, sekali gus menarik perhatian kumpulan cencaru untuk mengejarnya.

Sebaik terasa soft plastic digetu, sentapan joran harus dilakukan dengan pantas supaya ikan mudah tercangkuk mata kail.

Masa terbaik

Berdasarkan pengalaman kami memancing ikan cencaru di PCB, waktu paling produktif adalah ketika perubahan pasang surut air. Awal pagi sebelum matahari terik dan
lewat petang menjelang senja sering menghasilkan tangkapan yang lumayan.

Keadaan laut yang tidak terlalu bergelora juga memainkan peranan penting. Air yang sedikit keruh akibat ombak sering merangsang aktiviti pemakanan ikan cencaru.

Sebaliknya, ketika ombak terlalu besar atau arus terlalu laju, ikan cenderung bergerak ke kawasan yang lebih tenang.

Dengan memahami tabiat ikan cencaru, memilih waktu sesuai serta mengaplikasikan teknik yang betul memberi peluang untuk anda memperoleh hasil tangkapan lebih tinggi.

Bagi pemancing yang ingin merasai keseronokan memancing spesies ikan di pesisir pantai, teknik Carolina Rig boleh menjadi satu pilihan untuk dicuba di tempat anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN