fbpx
Penulis bersama ikan siakap putih yang dianggap trofi pada trip ini.

Gabung bot dan kelong untuk aktiviti memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI komuniti memancing, Kuala Terong, Perak, bukanlah nama yang asing. Namun, apa yang menjadikan trip kali ini berbeza adalah gabungan strategi memancing menggunakan bot sepenuhnya, manakala kelong pula dijadikan sebagai ‘markas’ untuk berehat dan bermalam.

Pengembaraan kami bermula jauh lebih awal di alam maya. Grup WhatsApp menjadi medan tempur pertama apabila pelbagai cadangan lokasi, umpan dan teknik dibincangkan siang serta malam.

Bermacam karenah muncul disebabkan faktor ahli yang pelbagai usia. Ada yang muda dan ada tua. Bagi generasi muda, ­seharian bergasak memancing pasti bukanlah masalah utama bagi mereka.

Namun bagi geng veteran, pasti mereka lebih santai dan perlukan masa berehat yang mencukupi supaya lebih bertenaga untuk sesi memancing yang berpanjangan.

Lantas, pancingan dengan bot dan berehat di kelong menjadi pilihan semua ahli, jadi semua pihak merasa puas hati.

Letak nama
Sudah lumrah dalam mana-mana trip, drama penyertaan pasti berlaku. Ada rakan yang pada mulanya sudah bersemangat meletakkan nama, namun terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir atas urusan tidak dapat dielakkan.

Saya sendiri terpaksa menarik diri atas urusan kerja dan menimbulkan suasana huru-hara kerana tidak dapat bersama untuk trip ini.

Bagaimanapun, suasana berubah 360 darjah sebaik sahaja gambar-gambar hasil tangkapan trip terdahulu seperti siakap putih, siakap merah dan jenahak dikongsi semula di dalam grup.

Mana-mana yang awalnya menarik diri, tiba-tiba kembali ‘menghidupkan’ nama dalam senarai setelah melihat bukti hasil yang cukup mengujakan.

Akhirnya, hari trip tiba juga dan pada pukul 5 pagi, konvoi kami bergerak dari Simpang Pulai, Perak. Perjalanan merentas lebuh raya menuju ke Taiping terasa singkat kerana keterujaan yang membuak.

Setibanya di jeti Kuala Terong, bot yang sudah siap sedia menunggu terus memacu kami ke Kelong Abang Sabarudin.

Strategi trip
Segala barang-barang, selain daripada peralatan memancing disimpan di atas kelong. Kemudian, barulah bot keluar menuju lubuk-lubuk berpotensi bagi sesi memancing pada hari pertama.

Inilah kelebihannya pancingan dengan menggunakan bot, kami dapat meneroka pelbagai lubuk yang lebih spesifik di sekitar muara dan pesisiran pantai.

Bot memberikan mobiliti untuk mencari kawasan yang mempunyai arus dan struktur didiami ikan-ikan pemangsa.

Kelong Abang Sabarudin yang luas dan selesa sesuai untuk bilangan pemancing ramai.

Setelah penat seharian beradu tenaga dengan tarikan ikan dari atas bot, kelong pula menjadi penyelamat. Sebelum matahari terbenam, kami mendarat di kelong bagi memberi ruang kepada tekong serta pihak pengurusan kelong untuk menyediakan makan malam.

Air yang tadinya laju kerana arus bertolak pasang sudah mula perlahan. Kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba teknik pelampung berumpankan udang hidup bagi memburu ikan siakap putih yang menjadikan struktur sekeliling kelong sebagai kubu serang hendapnya.

Setelah joran dilabuhkan kami yang masing-masing jenis ringan tulang membantu tekong memasak juadah makan malam.

Tengah sedap merewang sambil berkongsi cerita memancing atas bot pada waktu siang, tiba-tiba joran saya membengkok. Sangkaan kami dengan yakin bahawa ikan siakap putih yang melarikan umpan ternyata benar.

Ikan trofi
Ikan dalam lingkungan saiz tiga kilogram itu berjaya didaratkan dan kami jadikan hidangan makan malam. Siakap putih dan kambing bakar sememangnya membangkitkan selera kami yang kepenatan seharian memancing.

Setelah kenyang menjamu selera, kami mengisi waktu malam di kelong dengan aktiviti meman­cing santai sambil berbual kosong dan menikmati angin laut.

Ada yang berjaya menaikkan ikan sembilang, tetanda dan ketuka, manakala yang lain lebih selesa berehat bagi memulihkan tenaga untuk sesi memancing keesokan paginya.

Pagi hari kedua, setelah selesai menjamah hidangan sarapan yang disediakan oleh tekong, masing-masing bergegas dengan kelengkapan memancing masuk ke dalam bot untuk misi membalas dendam, sebelum masa memancing tamat pada tengah hari.

Trip sebegini membuktikan bahawa aktiviti memancing tidak semestinya perlu ‘sengsara’.

Dengan perancangan rapi dan pemilihan lokasi bermalam yang selesa seperti di Kelong Kuala Terong ini, hobi yang menjerihkan mampu menjadi terapi cukup berkesan buat peminatnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN