Buat Fadlon Ramadhan, minat memancing tidak lahir dalam sehari. Ia berputik sejak zaman kanak-kanak ketika sungai dan laut menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya. Di situlah dia mula mengenali pelbagai hidupan akuatik, memerhati perubahan alam dan menikmati masa bersama keluarga serta rakan-rakan.
Membesar di Indonesia yang kaya dengan rangkaian sungai dan perairan pesisir, Fadhlon berpeluang membina hubungan rapat dengan alam semula jadi. Dari situlah tumbuh rasa ingin tahu yang akhirnya berkembang menjadi kecintaan mendalam terhadap dunia perikanan rekreasi.
“Sejak kecil, saya sudah sangat dekat dengan alam, terutama sungai dan laut. Dunia memancing hadir sebagai sebahagian daripada kehidupan harian dan cara menikmati masa bersama keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Daripada pengalaman itulah lahir minat yang terus berkembang. Setiap trip memancing membawa cerita berbeza. Ada kalanya, perjalanan dihiasi kejayaan yang menggembirakan, ada masanya dipenuhi cabaran menguji ketahanan. Semuanya menjadi pengalaman berharga yang membentuk dirinya hari ini.
Perjalanan panjang
Namun, daya tarikan dunia memancing bagi dia tidak tertumpu kepada hasil tangkapan semata. Pengalaman yang dikutip sepanjang perjalanan menjadi sebab utama minat itu terus berkembang dari tahun ke tahun.
Dari sungai pedalaman hingga ke pesisir lautan, setiap lokasi hadir dengan cerita tersendiri.
Ada menguji ketahanan fizikal, ada menuntut kesabaran, manakala ada pula menghadiahkan detik pertarungan yang kekal terpahat dalam ingatan.
“Memancing mengajar saya tentang kesabaran dan rasa hormat terhadap alam. Setiap perjalanan memberikan pengalaman yang tidak boleh dijangka.
“Ia bukan mengenai ikan yang berjaya didaratkan sahaja, tetapi keseluruhan pengalaman yang dilalui sepanjang pengembaraan,” katanya.

Perasaan teruja yang lahir pada hari tersebut menjadi pencetus kepada kecintaan yang terus berkembang sehingga kini.
Pancing ke kaca televisyen
Nama Fadlon semakin dikenali apabila menyertai Mancing Mania Strike Back terbitan Trans 7, sebuah program yang cukup sinonim dengan komuniti pemancing Indonesia.
Apa yang menarik, dia tidak hadir sebagai hos di hadapan kamera. Sebelum terlibat dalam dunia penyiaran, Fadlon terlebih dahulu membina pengalaman sebagai pemancing lapangan yang aktif meneroka pelbagai perairan.
Pengalaman tersebut memberinya kelebihan untuk memahami cabaran yang dihadapi pemancing, selain membolehkannya berkongsi cerita secara lebih dekat dengan penonton.
Baginya, seorang hos perlu menjadi pencerita yang menghubungkan penonton dengan dunia memancing, alam semula jadi dan masyarakat setempat.
“Apabila menyertai Mancing Mania Strike Back, saya belajar bahawa tugas seorang hos bukan hanya memancing di hadapan kamera. Kita juga perlu menyampaikan cerita, berkongsi pengetahuan dan membawa mesej pemuliharaan alam kepada masyarakat,” katanya.

Melalui program tersebut, dia berpeluang menjelajah pelbagai pelusuk Indonesia, dari kawasan pesisir, sungai pedalaman hinggalah ke lokasi terpencil yang masih kekal terpelihara.
Setiap destinasi memberikan pengalaman berbeza. Ada yang menawarkan spesies ikonik, ada mempamerkan keindahan landskap menakjubkan. Manakala sebahagiannya pula membuka matanya tentang usaha memelihara alam sekitar.
Khazanah perairan Indonesia
Indonesia sememangnya terkenal sebagai antara negara yang memiliki kepelbagaian biodiversiti perairan dan paling kaya di dunia.
Ribuan gugusan pulau, rangkaian sungai yang luas dan lautan membentang menjadikan negara itu syurga kepada pemancing.
Sepanjang penglibatannya bersama Mancing Mania Strike Back, banyak lokasi meninggalkan kesan mendalam kepada Fadlon.
Namun menurutnya, kawasan yang masih kekal semula jadi sering memberikan pengalaman paling bermakna.
“Lokasi terpencil yang masih terpelihara memberikan pengalaman yang berbeza. Selain cabaran memancing, kita dapat melihat sendiri kekayaan hidupan dan kepentingan memelihara ekosistem tersebut,” ujarnya.
Untuk menjejak lokasi-lokasi seperti ini, seseorang pemancing perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran.
Perjalanan yang panjang, keadaan cuaca tidak menentu serta kekangan logistik sering menjadi sebahagian daripada ekspedisi.
Namun buat Fadlom, cabaran tersebut merupakan sebahagian daripada keindahan pengembaraan.
Setiap kesukaran yang ditempuh akhirnya bertukar menjadi kenangan yang sukar dilupakan.
Mengilat dan pancing layang
Dalam soal teknik, Fadlon lebih tertarik kepada gaya pancingan yang menuntut pergerakan aktif serta pemahaman terhadap tabiat ikan.
Mengilat menjadi antara teknik kegemarannya kerana setiap lontaran gewang membuka peluang kepada sesuatu yang tidak dapat dijangka.
“Casting memerlukan kita memahami tabiat ikan, keadaan air dan persekitaran. Setiap lontaran membawa peluang untuk memperoleh sambaran yang tidak dijangka,” katanya.
Bagaimanapun, teknik yang paling dekat di hatinya adalah pancing layang (fly fishing).
Menurut Fadlon, pancing layang mengajar seseorang pemancing untuk benar-benar membaca alam. Pergerakan serangga, arus air, kedudukan ikan dan persembahan umpan tiruan perlu diperhatikan dengan teliti sebelum ia dipersembahkan.
Ikan ikonik Nusantara
Sebagai pemancing yang banyak mengembara, Fadlon mempunyai beberapa spesies ikan yang cukup dekat di hatinya. Antaranya adalah Papuan black bass, spottail bass, kelah dan tapah.
Setiap spesies ikan tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri. Ada yang terkenal dengan kekuatan luar biasa, ada mendiami habitat mencabar, manakala ada juga dianggap lambang kepada sesebuah sistem sungai.
Menurut Fadlon, spesies-spesies tersebut merupakan khazanah perairan yang mempunyai nilai pemuliharaan tinggi dan wajar dipelihara untuk generasi akan datang.
Malah, kebanyakan spesies tersebut turut menjadi simbol kepada kekayaan biodiversiti Nusantara yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh dunia luar.
Menjaga warisan perairan
Di sebalik keghairahan mengejar spesies idaman, Fadlon melihat pemancing sebagai golongan yang mempunyai tanggungjawab besar terhadap alam sekitar.
Pencemaran, kemusnahan habitat dan aktiviti penangkapan yang tidak terkawal mampu memberi kesan kepada populasi ikan asli yang menjadi kebanggaan rantau ini.
Dia menggalakkan pemancing mengamalkan etika memancing yang baik, menghormati peraturan tempatan dan mengamalkan konsep tangkap dan lepas.
Menurutnya, usaha pemuliharaan tidak boleh digalas oleh pihak berkuasa semata-mata.
Komuniti pemancing juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga yang membantu memantau keadaan sungai, tasik dan perairan negara.
Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dari sudut geografi serta biodiversiti.
Kedua-dua negara menjadi habitat kepada pelbagai spesies ikan ikonik yang menjadi buruan pemancing antarabangsa.
Fadlon percaya, Nusantara mempunyai segala kelebihan untuk muncul sebagai destinasi memancing bertaraf dunia.
“Kepelbagaian spesies, kawasan semula jadi yang luas serta banyak lokasi yang masih belum diterokai memberikan kelebihan kepada Nusantara,” tambahnya.
Namun beliau menegaskan pembangunan industri memancing perlu bergerak seiring dengan usaha pemuliharaan habitat.
“Ikan dan ekosistem tidak mengenal sempadan negara. Pemancing di Malaysia dan Indonesia mempunyai tanggungjawab yang sama untuk berkongsi ilmu, menjaga habitat dan menyokong amalan memancing yang lestari,” katanya.
Kemuncak kepuasan memancing tidak terletak pada saiz ikan atau rekod yang berjaya dipecahkan. Sebaliknya, ia lahir daripada penghargaan terhadap alam
yang menyediakan segala pengalaman tersebut.
Kejayaan seorang pemancing tidak diukur melalui jumlah tangkapan yang diraih. Sebaliknya, ia terpancar melalui rasa hormat terhadap alam serta kesediaan memelihara sungai, tasik dan lautan agar terus menjadi warisan yang boleh dinikmati oleh generasi akan datang.














