fbpx
Tekong Mirul bersama ikan kerandang, dia sentiasa berkongsi tip pemilihan gewang, teknik balingan serta cara mengendalikan ikan dengan betul sebelum dilepaskan semula.

Tasik Chini habitat semula jadi ikan spesies snakehead

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tasik yang sangat bernilai dari segi sejarah dan ekologi ini pernah diiktiraf sebagai Tapak Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009 sebelum ditarik balik pada 2022 ekoran kemerosotan ekosistem.

Keunikan tasik ini terletak pada rangkaian 12 buah tasik atau ‘laut’ dalam dialek tempatan.

Tasik-tasik ini saling bersambung, dikelilingi hutan tropika dan perkampungan Orang Asli suku Jakun.

Aliran air yang memasuki sistem perairan ini adalah dari Sungai Pahang melalui Sungai Chini.

Jadi tidak hairanlah, terdapat pelbagai spesies ikan tempatan menjadikan lokasi berkenaan sebagai habitatnya.
Aktiviti memancing

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Tasik Chini semakin dikenali sebagai destinasi aktiviti memancing ikan air tawar, khususnya untuk akti­viti mengilat gewang.

Keindahan bunga teratai yang mekar pada musim tertentu turut menjadikan tasik ini destinasi pengilat yang inginkan pengalaman ‘casting’ di kawasan heavy cover.

Setiap hujung minggu, boleh kelihatan bot-bot pemancing menyusuri kawasan teluk, bereba dan laluan air yang cetek.

Waktu subuh dan lewat petang menjadi pilihan kerana ikan pemangsa aktif memburu di permukaan air.

Penulis bersama seekor induk toman yang digoda dengan gewang permukaan.

Aktiviti ini bukan sahaja menarik pemancing tempatan, malah turut dikunjungi kaki pancing dari luar Pahang yang ingin merasai sendiri cabaran sambaran ganas spesies snakehead di tasik ini.

Kehadiran tekong berpengalaman turut memudahkan pemancing mencari lubuk-lubuk berpotensi tinggi.

Tekong Hamierul

Antara tekong yang semakin dikenali dalam kalangan kaki casting di Tasik Chini ialah Hamierul yang juga dikenali sebagai Mirul, seorang anak jati tempatan berpengalaman luas.

Dikenali dengan sikap mesra dan teliti, dia bukan saja mahir membaca pergerakan ikan mengikut musim dan paras air, malah cekap mengenal pasti kawasan ‘panas’ bagi spesies ikan yang menjadi idaman pelanggannya.

Toman terkenal sebagai pemangsa utama dengan kekuatan luar biasa dan sifat agresifnya, terutama ketika menjaga anak.

Bujuk dan kerandang yang lebih pasif pula gemar mendiami kawasan berumput tebal serta berair cetek.

Selain tiga spesies utama ini, terdapat juga ikan sebarau, lampam, baung dan keli yang menjadi tangkapan sampingan. Kepelbagaian spesies ini menjadikan Tasik Chini lokasi ideal untuk pelbagai teknik pancingan moden dan tradisional.

Teknik

Ikan toman biasanya diperdaya menggunakan gewang permukaan seperti popper atau pencil saiz antara 100 hingga 120 milimeter atau buzzbait yang mampu menghasilkan percikan air serta bunyi bising yang dapat mencetuskan serangan agresif ikan terutama ketika induk menjaga anak.

Untuk memburu ikan toman, pemancing disarankan menggunakan joran aksi medium heavy hingga heavy antara 10–20lb atau 15–30lb yang dipadankan dengan kekili baitcaster atau spinning yang diisi tali braided 30–40lb dengan perambut 40lb bagi menahan asakan ikan serta struktur reba. Bagi ikan bujuk pula, teknik karauan perlahan menggunakan soft plastic atau gewang selaman cetek lebih sesuai kerana spesies ini menyerang secara mengejut dari kawasan terlindung.

Kerandang, bujuk atau haruan pula boleh diburu menggunakan set aksi ringan hingga sederhana dengan tali braided antara 10–15lb.

Penggunaan leader fluorocarbon 30lb penting bagi mengurangkan risiko putus akibat geseran struktur kayu dan reba di dalam tasik.

Gewang jenis katak tiruan sama ada diperbuat daripada getah ataupun kayu juga boleh digunakan untuk di kawasan berumpair tebal dan teratai.

Untuk setiap jenis gewang, kepelbagaian warna natural seperti hijau, coklat atau perak serta warna-warna terang seperti merah jambu, jingga atau ‘chartreuse’ wajar dicuba mengikut keadaan air dan cuaca bagi meningkatkan peluang sambaran daripada ikan.

Potensi pelancongan

Secara keseluruhannya, Tasik Chini dapat menawarkan satu pakej yang lengkap kepada pemancing seperti keindahan alam semula jadi, kepelbagaian spesies ikan serta cabaran teknik mengilat yang menguji kemahiran.

Potensi ini terbuka bukan sahaja untuk warga Malaysia, malah peman­cing antarabangsa.

Selagi kelestarian alam terus dipelihara dan konsep tangkap dan lepas diamalkan, tasik legenda ini pasti terus menjadi syurga casting air tawar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN