Semua peserta ditemani oleh ibu bapa atau penjaga sepanjang program berlangsung.

‘Take a Kid Fishing 2026’ rancakkan Tasik Metropolitan Kepong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu merupakan hasil kerjasama antara Allianz Malaysia bersama rakan penaja TCE Tackle dan EXP Fishing, dengan matlamat memperkenalkan dunia memancing kepada generasi muda melalui pendekatan menyeronokkan dan mesra keluarga.

Selain menjadi platform untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap aktiviti rekreasi luar rumah, program ini turut menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti bersama anak-anak serta memperkukuhkan hubu­ngan kekeluargaan melalui pengalaman memancing.

Kehadiran ahli keluarga bukan sahaja memberikan sokongan moral kepada kanak-kanak, malah menjadikan program ini sebagai platform untuk memberi pengalaman dan memupuk minat memancing.

Suasana ceria dan penuh keterujaan jelas dapat dilihat sepanjang program berlangsung apabila para peserta cilik ini berjaya menaikkan hasil tangkapan masing-masing.

Bagi memastikan semua peserta dapat menyertai program dengan selesa, pihak penganjur telah menyediakan set pancing lengkap serta umpan kepada setiap peserta.

Inisiatif ini membolehkan kanak-kanak yang tidak mempunyai pengalaman atau peralatan sendiri turut berpeluang merasai keseronokan memancing.

Dengan bimbingan daripada sukarelawan dan ibu bapa masing-masing, peserta diajar cara memegang joran, memasang umpan serta teknik asas untuk menarik ikan ke daratan.

Sepanjang pertandingan berlangsung, pelbagai spesies ikan berjaya dinaikkan oleh peserta. Antara spesies yang paling banyak diperoleh adalah ikan lampam, tilapia dan keli.

Setiap kali peserta berjaya menaikkan ikan, sorakan daripada ahli keluarga dan peserta lain dapat didengari di sekitar kawasan pertandingan.

Bagi sebahagian peserta, program ini merupakan pengalaman pertama mereka menyertai aktiviti memancing secara teratur dan sistematik.

Walaupun begitu, mereka berjaya menunjukkan minat yang tinggi dan menikmati pengalaman memancing bersama keluarga.

Pemenang
Gelaran juara menjadi milik Muhammad Farish Shakir Muhammad Farhan yang berjaya menaikkan seekor ikan keli seberat 3.650 kilogram (kg), sekali gus menjadi tangkapan terbesar dalam pertandingan.

Tempat kedua dimenangi oleh Razein Mirza Haswandi menerusi tangkapan ikan keli seberat 1.195kg.

Sementara itu, Teha Tihany Mohammad Razmie berjaya menduduki tempat ketiga dengan tangkapan ikan lampam seberat 0.54kg.

Kejayaannya membuktikan bahawa aktiviti memancing turut mendapat sambutan dalam kalangan kanak-kanak perempuan yang berminat untuk mendalami hobi tersebut.

BAGI peserta cilik, ikan keli Afrika sekasar ini perlu bantuan orang dewasa bagi mendaratkannya.

Manfaat
Selain pertandingan, program ini turut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari nilai-nilai penting seperti kesabaran, disiplin dan kerjasama.

Aktiviti memancing memerlukan peserta menunggu dengan tenang dan fokus, sekali gus membantu membentuk sikap positif dalam kalangan generasi muda.

Dalam masa sama, ibu bapa dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak dalam suasana santai di luar rumah.

Program seperti ini membuktikan bahawa aktiviti memancing bukan sekadar hobi, malah mampu menjadi medium pendidikan dan pembangunan sahsiah yang berkesan.

Melalui pengalaman berinteraksi di dunia luar rumah, kanak-kanak dapat mempelajari nilai tanggungjawab, menghargai alam sekitar serta membina keyakinan diri.

Lebih penting lagi, aktiviti seperti ini memberi peluang kepada keluarga untuk mencipta kenangan manis bersama.

Secara keseluruhannya, program ‘Take a Kid Fishing 2026’ berjaya mencapai objektifnya sebagai program rekreasi keluarga yang menyeronokkan dan bermanfaat.

Aktiviti memancing santai bersama keluarga bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, malah menjadi medium terbaik untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat serta berfaedah.

Melalui kerjasama erat antara penganjur, penaja, peserta dan orang ramai, program ini membuktikan bahawa aktiviti memancing mampu menjadi platform pendidikan, rekreasi serta pembangunan generasi muda.

Diharapkan penganjuran program seumpama ini akan diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai pemancing muda serta mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN