SEJAK tahun 2014 sehingga hari ini, DOF telah memperuntukkan RM1.1 juta untuk pembangunan tukun tiruan di Perak sahaja. Daripada peruntukan itu, sebanyak 99 buah tukun tiruan telah dilabuhkan di Pulau Pangkor, perairan Rungkup, Kepulauan Sembilan termasuk yang terbaharu di Pulau Jarak.
Ada sebahagian daripada tukun-tukun tersebut turut disumbangkan oleh pihak swasta dan badan bukan kerajaan konservasi marin.
Enam tukun terbaharu di Pulau Jarak ini seberat 17 tan dengan ketinggiannya 3.725 meter. Setiap satunya diletakkan plak Jata Negara dan Jata Negeri Perak bagi membuktikan kedaulatan Pulau Jarak di bawah pentadbiran tanah air tercinta.
Pulau Jarak satu-satunya pulau paling jauh di Perak yang terletak kira-kira 45 kilometer dari pantai Lumut yang terkenal dalam kalangan pemancing tegar, khususnya kaki popping ikan gerepoh (GT) dan jigging ikan demersal seperti jenahak dan kerapu.
Tidak dinafikan, pulau yang hampir dengan sempadan Indonesia itu merupakan habitat sumber perikanan berkepentingan tinggi yang dicirikan oleh terumbu karang, kawasan berbatu dan dasar berpasir.

Tukun seberat 17 tan diturunkan secara berhati-hati dengan menggunakan kren.
Kebanyakan tukun tiruan dilabuhkan merupakan tukun jenis penghalang pukat tunda yang bertujuan menghalang pencerobohan aktiviti vesel pukat tunda di kawasan larangan, khususnya di perairan kurang lapa batu nautika dari pantai.
Program labuhan tukun
Program labuhan tukun di Pulau Jarak telah disempurnakan oleh, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Program itu turut disertai Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, TLDM, PDRM, Majlis Perbandaran Manjung, Tourism Perak Management Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan persatuan-persatuan memancing tempatan.
Perak merupakan antara negeri yang menyumbang hasil sektor perikanan laut paling tinggi di Malaysia. Pada 2024 sahaja, Perak menyumbang sebanyak 434,349.91 tan metrik tangkapan ikan dengan nilai melebihi RM 32.7 juta.
Kesemua usaha konservasi dan pengurusan perikanan yang baik ini dapat menjamin permintaan dan keterjaminan sumber perikanan negeri Perak. Ini secara tidak langsung memberi limpahan sumber perikanan tambahan bagi memenuhi permintaan di luar Perak.














