MOHD. HASRULLAH bergambar bersama deretan ikan yang berjaya didaratkannya antaranya belitong dan tenggiri (kanan).

Memancing bagaikan candu, pulang mesti ada hasil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kaki pancing tegar, memancing di tengah laut bukan sekadar hobi, sebaliknya sudah menjadi seperti ‘candu’. Setiap kali turun ke laut, golongan itu pasti teruja untuk merasai detik joran melentur dan membawa pulang hasil.

Seorang kaki pancing, Mohd. Hasrullah Baharuddin, 45, dari Kota Bharu, Kelantan berkata, pengalaman memancing sejak 2010 menjadikan setiap trip ke laut penuh dengan debaran, lebih-lebih lagi apabila berjaya merasai tentangan ikan.

“Bagi saya, memancing ini macam ketagihan. Bila setiap kali turun ke laut dapat ikan, memang rasa seronok dan tidak sabar untuk turun lagi.

“Detik paling menggembirakan adalah apabila ikan menyambar umpan atau jig dan kita berjaya menaikkannya ke dalam bot.

“Penat berjam-jam di laut terus hilang apabila tengok hasil diperoleh,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang bekerja sebagai Pengurus Stesen Minyak Caltex di Jalan Long Yunus, Kota Bharu itu, dia sering memancing di perairan Kelantan dan Pahang dengan menyertai trip berkumpulan menggunakan bot nelayan atau bot rekreasi.

Katanya, tiada istilah ‘kumpau’ ketika memancing di tengah laut kerana pelbagai teknik boleh digunakan, mengikut keadaan, lokasi dan spesies ikan yang diburu.

“Kalau tenggiri, saya main jig sahaja, manakala siakap muara pula menggunakan umpan udang hidup.

“Biasanya, kos satu trip adalah sekitar RM200 hingga RM400 seorang, bergantung kepada saiz bot dan kuasa kuda enjin yang digunakan,” katanya.

Mohd. Hasrullah berkata, antara hasil yang sering diperoleh menerusi teknik pancing dasar (bottom) adalah ikan kerisi, kerapu, selayang dan selar papan, selain pernah mendaratkan tenggiri kira-kira lima kilogram (kg) dan siakap muara seberat 6kg.

Bagaimanapun, pengalaman paling mendebarkan baginya adalah ketika berjaya menewaskan seekor ikan layaran seberat kira-kira 60kg.

Menurutnya, pertarungan dengan layaran itu mengambil masa hampir 30 minit selepas ikan berkenaan membuat ‘larian’ sehingga hampir menghabiskan tali pada kekili.

“Waktu itu memang berdebar. Tali pada reel hampir habis kerana ikan tersebut membuat ‘larian’ yang kuat.

“Tekong terpaksa menghidupkan enjin dan mengikut pergerakan ikan supaya tali tidak putus. Selepas hampir 30 minit bertarung, akhirnya ikan itu berjaya didaratkan,” katanya.

Lebih menarik, ikan layaran itu tidak dibawa pulang kerana Mohd. Hasrullah memilih melepaskannya semula ke laut.

“Selepas berjaya mendaratkannya, saya lepaskan semula kerana ia adalah ikan dalam senarai kawalan. Bagi saya, kepuasan bukan semata-mata membawa pulang ikan, tetapi pengalaman menewaskan ikan tersebut,” katanya.

Tambahnya, pengalaman memancing bukan semuanya manis kerana dia pernah berdepan beberapa kejadian mencemaskan termasuk tertusuk mata kail pada bahagian ibu jari.

Dia juga pernah merasai pengalaman menakutkan apabila enjin bot rosak ketika berada di tengah laut ketika perjalanan pulang serta terpaksa berdepan keadaan cuaca buruk dan ribut.

“Pengalaman seperti itu mengajar saya supaya sentiasa berhati-hati. Kalau keadaan laut terlalu bergelora, keselamatan nyawa perlu diutamakan.

“Kita dan tekong tidak boleh terlalu mengejar ikan sehingga mengabaikan keadaan laut. Ikan boleh dicari lagi, tetapi nyawa tiada gantinya,” katanya.

Antara jeti yang pernah menjadi lokasi permulaan tripnya termasuk Jeti Pok Nik Lah, Pengkalan Chepa; Jeti Kemasin, Pengkalan Kubor, Pantai Cahaya Bulan dan Jeti Pengkalan Pasir, manakala di Pahang pula sekitar perairan Pantai Teluk Cempedak.

Mohd. Hasrullah berkata, hasil tangkapan biasanya dijual, dijadikan lauk atau diagihkan kepada keluarga, sahabat dan jiran-jiran.

“Yang penting apabila balik dari laut, ada hasil untuk dibawa pulang.

“Bukan soal banyak atau sedikit, tetapi kepuasan apabila kita berjaya mendaratkan ikan selepas berjam-jam menunggu di atas bas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN