fbpx
Gambar hiasan.

MCMC lengkapkan kerangka Akta 866, platform digital perlu lebih proaktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melengkapkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), termasuk memuktamadkan satu lagi instrumen peraturan berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi bagi memperjelas tanggungjawab platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MCMC kini mengadakan rundingan awam berhubung Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi) yang bermula pada 19 Jun lalu dan akan berakhir 20 Julai ini sebelum dimuktamadkan.

“Peraturan ini adalah antara 10 instrumen subsidiari yang melengkapi pelaksanaan Akta 866, dengan enam daripadanya telah dikuatkuasakan setakat ini.

“Kesemua perundangan subsidiari, kod dan garis panduan ini digubal bagi memperincikan kewajipan pemberi perkhidmatan berlesen serta memberi panduan jelas mengenai pematuhan terhadap tanggungjawab statutori,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai status pembangunan instrumen subsidiari di bawah Akta 866.

Fahmi berkata, pelaksanaan akta itu akan memastikan platform media sosial memikul tanggungjawab lebih besar untuk mengesan dan menurunkan kandungan memudaratkan tanpa bergantung sepenuhnya kepada MCMC.

“Sepatutnya masalah kandungan memudaratkan ini ditangani oleh platform itu sendiri, bukannya MCMC,” tegasnya.

Beliau mendedahkan bahawa sejak 1 Januari hingga semalam, MCMC telah memohon sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan diturunkan daripada platform digital, dengan setiap permohonan memerlukan antara 30 hingga 45 minit untuk disediakan.

Katanya, jika dikira berdasarkan tempoh minimum 30 minit bagi setiap permohonan, ia bersamaan kira-kira 19.7 tahun waktu bekerja yang digunakan hanya untuk memfailkan permohonan menurunkan kandungan berkenaan.

Menurut Fahmi, kira-kira 91 peratus daripada kandungan yang dimohon untuk diturunkan melibatkan aktiviti perjudian dan penipuan dalam talian yang dihasilkan secara berulang oleh sindiket jenayah.

Sehubungan itu, katanya, MCMC sedang meneliti penggunaan teknologi agentic AI bagi meningkatkan kecekapan pengurusan aduan serta mengurangkan beban pegawai, selain menggalakkan platform media sosial menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan dan menurunkan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti dengan lebih pantas.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN