SHAH ALAM – Teguran berhubung prestasi pelajaran merosot dipercayai punca seorang remaja lelaki menghilangkan diri selama lebih seminggu sebelum ditemui selamat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur awal pagi semalam.
Remaja lelaki berusia 14 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 3 pagi oleh kedua-dua ibu bapanya di laluan pejalan kaki berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang.
Mangsa kemudiannya dibawa ibu bapanya ke Balai Polis Seksyen 9 di sini untuk membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati mangsa keluar dari rumah selepas dimarahi ibunya susulan prestasi pelajaran yang menurun.
“Sepanjang menghilangkan diri, remaja itu berada di sekitar Bukit Bintang dan tidur di restoran makanan segera di kawasan tersebut. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan sihat,” katanya hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dilaporkan hilang sejak seminggu lalu selepas keluar dari rumahnya di Seksyen 16 di sini dipercayai selepas berlaku perselisihan faham dengan ibunya.
Kehilangan Muhammad Shazriq Ziqri Abdullah, 14, disedari ibunya pada 23 Jun lalu selepas remaja itu keluar dari rumahnya pada pukul 6.45 pagi.
Remaja itu sempat meninggalkan surat kepada ibunya dengan menyatakan dia tidak mahu dicari dan akan kembali selepas mampu menanggung diri sendiri serta ibunya
Dalam nota itu juga, dia menyatakan pemergiannya bukan kerana benci, sebaliknya atas dasar sayang. – KOSMO! ONLINE














