GEORGE TOWN – Seorang juruteknik masih tidak berputus asa mencari ibu kandungnya, Rohani Babu, 65, atau mesra dipanggil Mak Ndak yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Paya Terubong, Air Itam di sini, dua tahun lalu.
Mohd. Redzuan Rusli, 43, berkata, usaha mencari ibunya tidak pernah berhenti dan masih berharap dipertemukan semula dengan insan kesayangannya itu.
Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mendapatkan bantuan pihak polis, membuat semakan di beberapa hospital di negeri ini termasuk di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan di Perak sejak kehilangan ibunya pada 9 Jun 2024.
“Saya sudah cari mak (panggilannya terhadap Rohani) di sekitar kawasan Air Itam, malah hampir semua lorong di kawasan perumahan dan taman rekreasi dijejaki.
“Saya ada muat naik kisah kehilangan mak di media sosial dan ramai yang cuba bantu mencari. Saya hubungi pihak berkuasa dan pergi ke balai untuk mendapatkan perkembangan terkini tapi sehingga hari ini masih tiada apa-apa yang positif,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Ujarnya, dia bertemu beberapa pengamal perubatan Islam dan pawang sebagai alternatif, namun menemui jalan buntu.
Dia yang merupakan anak tunggal memberitahu, pihak berkuasa turut membantunya membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan tiada sebarang rekod baharu melibatkan kad pengenalan ibunya.
“Setakat ini, tiada rekod baharu mengenai pertukaran alamat atau yang berkaitan ditemui dan kad pengenalan lama masih aktif.
Jelas bapa kepada tiga anak itu, kerinduan terhadap ibunya kini menjadi semakin mendalam hingga sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Anak mana yang tak ingat mak…Rindu sangat dekat mak lebih-lebih lagi pada Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya.
Pada 9 Jun 2024, Rohani keluar dari rumah sehelai sepinggang.
Dia yang tinggal berseorangan mempunyai masalah hilang ingatan, sakit sawan dan pertuturan tidak jelas.














