SEREMBAN – Statistik hari pertama Operasi Bersepadu Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi penguatkuasaan di seluruh negara menguatkan petunjuk bahawa trend penyalahgunaan syabu dan ketum dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan semakin membimbangkan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada 244 pemandu yang menjalani saringan ujian air kencing pada hari pertama operasi, seramai 22 individu didapati positif dadah.
Katanya, daripada jumlah itu, 14 individu atau lebih 60 peratus dikesan positif methamphetamine (syabu), enam positif ketum manakala dua lagi positif ganja.
“Keputusan ini menunjukkan syabu dan ketum masih menjadi dadah pilihan dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan, dan memperlihatkan trend peningkatan sejak lima tahun kebelakangan ini,” katanya pada sidang akhbar Operasi Bersepadu Dadah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, di sini, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata, peningkatan kes yang dikesan melalui operasi bersepadu bersama JPJ menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu perdagangan bukan lagi isu terpencil dan memerlukan penguatkuasaan berterusan.
Sementara itu, Aedy Fadly berkata, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah semata-mata untuk mengejar trip atau bekerja lebih masa.
Katanya, pihaknya juga boleh mengambil tindakan terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan, termasuk membatalkan permit pengendali sekiranya gagal memastikan pemandu mereka mematuhi undang-undang.- KOSMO! ONLINE














