fbpx
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan lima mangsa yang cedera selepas sebuah kereta terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Hutan Kuin, Machang malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA

Terlalu fokus lihat Waze, lima warga China cedera kereta jatuh gaung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Gara-gara terlalu fokus melihat aplikasi Waze di telefon pintar, sebuah kereta yang dinaiki lima warga China terjatuh ke dalam gaung di tapak projek pembinaan pembetung di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Hutan Kuin di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu menyebabkan pemandu kereta jenis Toyota Prius, Pan Jieyin, 66, dan penumpang depan, Yang Chuan, 40, tersepit di dalam kereta tersebut.

Tiga lagi penumpang iaitu Wang Fuying, 59, Wang Yumi, 61 dan Zeng Guojin, 65, turut mengalami kecederaan pada beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, siasatan awal mendapati, kelima-lima mangsa menaiki kereta itu sedang dalam perjalanan selepas bersembahyang di sebuah tokong di Temangan di sini menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh.

Katanya, pemandu kereta itu yang sudah dua tahun menetap dan bekerja di negara ini dipercayai melihat aplikasi peta navigasi, Waze di telefon pintar ketika memandu.

“Kereta tersebut dipercayai memasuki kawasan tapak projek pembinaan pembetung yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam sembilan meter.

“Kelima-lima mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Machang di sini untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Tambahnya, pengguna jalan raya perlu sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang di kawasan kerja pembinaan selain tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi terutamanya ketika memandu pada waktu malam.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd. Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.01 tengah malam sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta terbabit yang bekerja di sebuah kilang di Tok Bali, Pasir Puteh dipercayai tidak peka terhadap isyarat lalu lintas di kawasan tapak pembinaan sebelum terjatuh ke dalam gaung.

“Kelima-lima mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tiga daripadanya yang berada di tempat duduk belakang merupakan pelancong dari China yang datang melawat negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN