PASIR MAS – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan barang kes yang terdiri daripada 10 kotak dadah jenis syabu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tanah Merah dekat sini dalam tempoh lebih empat tahun.
Tertuduh, Mohamad Syazlee Ideris, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dilakukan.
Keadaan itu telah menyebabkan hilangnya keterangan mengenai kesalahan tersebut dengan cara melupuskan sejumlah dadah jenis syabu dari 10 kotak barang kes berkait Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu merupakan kesalahan yang boleh dihukum mati.
Perbuatan itu dilakukan di stor barang kes IPD Tanah Merah dekat sini antara 7 Februari 2022 hingga 7 April 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Terdahulu, Nur Kamilah membantah permohonan jaminan oleh peguam dan memohon jumlah yang tinggi dengan syarat-syarat ketat sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat.
Mahkamah turut menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














