PETALING JAYA – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjelaskan Tan Sri Azam Baki masih menjadi anggota Lembaga Penasihat NFCC yang sah selama tiga tahun sehingga 19 September 2027.
Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, pelantikan Azam pada 20 September 2024 dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan tidak terikat dengan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Oleh itu, keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Sehubungan itu, kehadiran Azam Baki dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu selaras dengan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota yang sah,” katanya.
Terdahulu, keanggotaan Azam dalam Lembaga Penasihat NFCC menjadi perhatian selepas kehadirannya dalam mesyuarat lembaga itu pada 30 Jun lalu dipersoalkan beberapa pihak, susulan beliau tidak lagi menerajui SPRM.
Azam menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 12 Mei lalu selepas enam tahun mengemudi agensi antirasuah itu, sebelum jawatan berkenaan digantikan oleh Datuk Seri Abdul Halim Aman.- KOSMO! ONLINE












