fbpx
SEBUAH premis industri yang dijadikan sekolah untuk kanak-kanak Rohingya di Shahab Perdana, Alor Setar diserbu pada semalam. Foto MBAS

Premis industri jadi sekolah Rohingya diserbu di Alor Setar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sebuah premis industri yang dijadikan sekolah untuk etnik Rohingya diserbu penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada semalam.

Serbuan ke atas premis di Shahab Perdana itu dilakukan susulan dakwaan kewujudan sekolah tersebut yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut MBAS, pemeriksaan telah dilaksanakan bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Hasil siasatan mendapati sebuah premis industri di kawasan berkenaan telah disewakan kepada etnik Rohingya dan digunakan sebagai sebuah sekolah untuk etnik itu.

“Ia menempatkan seramai 26 kanak-kanak etnik Rohingya yang menetap di kawasan berhampiran. Siasatan juga mendapati yuran sebanyak RM100 sebulan dikenakan kepada setiap pelajar,” katanya di sini hari ini.

Susulan penemuan itu, katanya, Bahagian Penguatkuasaan MBAS telah merekodkan butiran pemilik premis dan penyewa bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Kes tersebut akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri dan akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran.

“Ia juga akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia Kedah bagi penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat” ujarnya.

Tambahnya, MBAS akan terus komited bagi memastikan setiap premis di kawasan bandar raya Alor Setar mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN