fbpx
KES kebocoran perut akibat prosedur bariatrik amat minimum iaitu hanya sekitar 0.06 peratus daripada 10,000 pesakit. – Gambar hiasan

Disiplin diri penentu kejayaan prosedur bariatrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASALAH berat badan berlebihan sering kali menjadi topik hangat yang diperdebatkan dalam masyarakat pada hari ini.

Ramai yang menganggap isu ini hanya sekadar masalah penampilan luaran, namun hakikatnya ia merupakan satu ancaman besar kepada kesihatan tubuh badan.

Menyedari bahaya yang menanti, pelbagai kaedah dicari bagi mendepani masalah ini. Salah satunya adalah pembedahan bariatrik yang kini semakin kerap menjadi bualan orang ramai.

Menurut Pakar Bedah Bariatrik Hospital Island Pulau Pinang, Dr. Abdul Gafoor Abdul Mubarak, kriteria kelayakan di negara-negara Barat atau Eropah menetapkan pesakit yang sesuai adalah mereka mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) 30 ke atas.

Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa standard bagi masyarakat di Asia adalah lebih rendah, iaitu pesakit yang mempunyai BMI 28.5 ke atas boleh menjalani prosedur itu, sekali gus mendapat kebaikan daripada pembedahan bariatrik.

Meskipun pembedahan itu terbukti membantu, namun risiko perubatan tetap wujud dan tidak boleh dipandang ringan oleh calon pesakit.

Dr. Abdul Gafoor berkata, secara umumnya, pembedahan bariatrik dikategorikan sebagai sangat selamat berdasarkan trend perubatan global.

“Peluang untuk berdepan risiko kematian akibat pembedahan bariatrik sebanyak 0.01 peratus, tetapi risiko tersebut tetap ada sama ada ketika fasa operasi dan kesan selepas pembedahan.

“Risiko pertama adalah berkaitan dengan bius apabila kebanyakan pesakit obesiti mempunyai masalah pernafasan yang dikenali sebagai obstructive sleep apnea (OSA) akibat berat badan tinggi.

“Keadaan ini mendedahkan mereka kepada risiko komplikasi anestesia semasa proses intubasi dijalankan, walaupun kadar berlakunya komplikasi tersebut sangat kurang.

“Risiko kedua adalah melibatkan komplikasi daripada pembedahan itu sendiri yang boleh berlaku selepas operasi,” katanya.

Dalam pada itu, antara kesan sampingan ringan yang bersifat sementara termasuk masalah keguguran rambut serta gejala mual dan muntah yang kadangkala boleh berlarutan melebihi tempoh dua minggu.

Tambahnya, terdapat dua lagi komplikasi berat yang sering dikhuatiri tetapi sangat jarang berlaku adalah masalah malnutrisi serta risiko kebocoran yang berlaku pada dinding perut selepas operasi (stomach leak).

Kes kebocoran perut amat minimum iaitu hanya berlaku sekitar 0.06 peratus atau bersamaan dengan enam dalam 10,000 pesakit.

Selain itu, faktor persediaan pesakit turut memainkan peranan besar. Komplikasi dikesan lebih ketara dalam kalangan individu dengan berat badan terlampau ekstrem seperti mempunyai BMI melebihi 60 mahupun berat lebih 170 kilogram.

Risiko sama boleh berlaku kepada golongan tidak bersedia iaitu mereka yang melakukan pembedahan secara mengejut tanpa sebarang persediaan awal.

Selepas pembedahan selesai, pesakit juga terpaksa berhadapan dengan risiko perubahan cara badan memproses nutrisi.

“Bagi kaedah sleeve gastrectomy (potong perut), ubat multivitamin wajib diambil pada tahun pertama sahaja, sebelum badan mula melakukan adaptasi dengan perut baharu.

“Namun, bagi prosedur bypass (pintasan usus), pesakit terpaksa bergantung kepada pengambilan suplemen atau multivitamin seumur hidup bagi mengelakkan komplikasi malnutrisi,” ujarnya.

Dr. Abdul Gafoor turut memberi amaran bahawa pembedahan bariatrik hanyalah alat bantuan fizikal untuk mengawal kuantiti makanan, manakala penentu mutlaknya adalah gaya hidup pesakit itu sendiri.

“Jika pesakit abaikan penjagaan, contohnya tidak buat pemeriksaan susulan dengan doktor dan mereka tidak memantau berat badan, kemungkinan antara 20 hingga 30 peratus pembedahan mereka akan gagal,” jelasnya.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, berat badan boleh meningkat seperti sebelumnya, andai gaya pemakanan sihat tidak digabungkan dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, pembedahan bariatrik bukanlah satu jaminan yang bebas daripada kesan buruk.

Sebaliknya, prosedur itu memerlukan keprihatinan dan komitmen susulan yang ketat oleh pesakit agar tidak mengundang mudarat lebih besar kepada tubuh badan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN