Gerald R. Ford Class merupakan kapal perang terbesar di dunia yang dimiliki oleh AS.

5 kapal perang terbesar dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEGARA-NEGARA kuasa besar dunia ketika ini sedang bersaing menguasai kawasan-kawasan strategik di laut lepas.

Bagi menguasai kawasan-kawasan tersebut, armada laut seperti kapal pengangkut bersaiz mega sangat diperlukan untuk menempatkan aset-aset ketenteraan.

Justeru itu, tidak hairanlah sekiranya kekuatan tentera laut moden kini diukur menerusi ‘kubu terapung gergasi’ yang berupaya mempamerkan kuasa ketenteraan merentasi lautan luas.

Daripada kapal pengangkut berkuasa nuklear sehinggalah kapal serangan amfibia gergasi untuk mendaratkan ribuan tentera di persisiran musuh, armada tentera laut sangat bergantung kepada skala dimensi serta kejuruteraan canggih.

Biarpun Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dari segi sejarahnya menguasai lautan menerusi kapal pengangkut mega, namun perubahan pesat tentera laut global telah merombak semula imbangan kuasa tersebut.

Kebangkitan kuasa maritim baharu seperti Tentera Laut China telah menyaksikan pembinaan kapal tempur permukaan berskala besar demi meluaskan pengaruh Beijing di laluan-laluan maritim yang strategik.

Minggu ini, CitaRasa senaraikan lima kapal perang terbesar di dunia berdasarkan dapatan yang dikeluarkan oleh portal Aero Corner pada awal bulan lalu.

 

1. Gerald R. Ford Class (101,600 tan)

Tentera Laut AS menganggarkan berat muatan penuh yang mampu ditampung kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford mencecah kira-kira 101,600 tan.

Kapal berkenaan telah ditauliahkan pada 22 Julai 2017 dan kekal sebagai satu-satunya kapal dalam kelasnya yang sedang beroperasi Ketika ini.

Menurut pihak Tentera Laut, kapal itu berupaya menjana 33 peratus lebih banyak penerbangan operasi berbanding kapal pengangkut kelas Nimitz.

Selain itu, ia merupakan kapal pengangkut pesawat pertama yang direka menggunakan utiliti elektrik.

Nimitz Class.

 

2. Nimitz Class (88,000 tan)

Tentera Laut AS menganggarkan kapal kelas Nimitz mampu mengangkut muatan seberat 87,997 tan metrik mengikut perkiraan rasmi. Panjang kapal itu menyamai kelas Ford, iaitu 333 meter.

Sebanyak 10 buah kapal Nimitz Class kini masih beroperasi bersama kelas Ford, sekali gus melengkapkan 11 kapal pengangkut pesawat milik angkatan tentera tersebut.

USS Nimitz yang ditauliahkan pada tahun 1975 merupakan kapal pengangkut pesawat aktif tertua milik Tentera Laut AS.

Tempoh perkhidmatannya telah dilanjutkan sehingga Mac 2027, sebelum kapal itu bersara secara rasmi selepas beroperasi selama kira-kira 52 tahun.

Fujian.

3. Fujian (Anggaran 80,000 tan)

China secara rasmi mentauliahkan kapal pengangkut pesawat ketiganya, Fujian pada 5 November tahun lalu.

Menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), kapal tersebut mampu menampung kira-kira 80,000 tan, sekali gus menjadikannya kapal perang terbesar bukan milik Tentera Laut AS.

Fujian merupakan kapal pengangkut pesawat pertama milik China yang dilengkapi sistem tarbil bagi menggantikan ski-jump ramp.

CSIS menganggarkan tempoh pembinaannya sehingga ditauliahkan mengambil masa sekitar 104 bulan, berbanding 72 bulan bagi kapal pengangkut terdahulu, Shandong.

Shandong.

4. Shandong (Anggaran 66,000 tan)

Kapal pengangkut pesawat Shandong ditauliahkan secara rasmi di Sanya pada 17 Disember 2019.

CSIS menganggarkan muatan kapal berkenaan adalah sekitar 66,000 hingga 70,000 tan, sekali gus mengatasi saiz kapal pengangkut pesawat milik Britain.

Kapal tersebut mula beroperasi tujuh tahun selepas pengenalan kapal Liaoning dan enam tahun lebih awal berbanding Fujian.

Kelas kapal ini menerima kod pengenalan NATO Kuznetsov Mod memandangkan reka bentuknya merupakan versi ubah suai yang menyerupai kapal pengangkut pesawat kelas Kuznetsov yang asalnya dibina untuk Tentera Laut Soviet.

Queen Elizabeth Class.

5. Queen Elizabeth Class (65,000 tan)

Kapal HMS Queen Elizabeth mempunyai kemampuan mengangkut muatan seberat 65,000 tan, dengan panjang 284 meter, menurut Tentera Laut Diraja Britain.

HMS Queen Elizabeth ditauliahkan pada 10 Disember 2019, di mana pihak tentera laut menyifatkannya sebagai kapal perang terbesar yang pernah dibina untuk Britain.

Sementara itu, HMS Queen Elizabeth mampu membawa sehingga 40 buah pesawat dengan dek penerbangan seluas empat ekar, manakala setiap satu daripada dua kipas kapal seberat 33 tan.

Kapal pengangkut pesawat berkenaan kembali berlayar ke laut pada April lalu selepas menjalani proses membaik pulih secara menyeluruh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN