IPOH – Polis menyiasat seorang wanita yang dipercayai membuat laporan palsu berhubung dakwaan dirinya disamun oleh dua lelaki bermotosikal di kawasan parkir sebuah premis perniagaan di Taman Ros, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, hasil siasatan mendapati kejadian samun yang dilaporkan wanita berusia 48 tahun itu tidak pernah berlaku.
“Wanita tersebut membuat laporan polis mendakwa disamun oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika berada di lokasi berkenaan.
“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa beg tangannya yang mengandungi wang tunai dan barangan peribadi telah dirampas.
“Bagaimanapun, hasil siasatan terperinci yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak mendapati kejadian samun seperti yang dilaporkan tidak pernah berlaku,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, individu berkenaan kemudiannya mengaku membuat laporan polis palsu kerana berdepan masalah peribadi.- KOSMO! ONLINE














