MELAKA – Seorang pekerja hotel di dakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 32 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada Mac 2025 di sebuah rumah di Melaka Tengah, tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa sekali lagi melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama pada Jun 2025.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon satu tarikh sebutan baharu bagi tujuan serahan dokumen selain mencadangkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dilarang mendekati mangsa.
Bagaimanapun, peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,700 sebulan sebagai staf di sebuah hotel.
Menurut beliau, isteri tertuduh tidak bekerja dan menanggung empat orang anak termasuk seorang anak berusia sembilan tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Beliau turut memaklumkan mangsa tidak lagi tinggal bersama keluarga sejak lebih 10 bulan lalu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan DAN menetapkan tarikh 18 Ogos depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE















