fbpx
Zakaria pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur hari ini.

Majikan tidak serik, JIM kaji kadar kompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengkaji cadangan menaikkan kadar kompaun terhadap majikan yang menggaji warga asing secara tidak sah sekiranya tindakan sedia ada didapati masih gagal memberi kesan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu akan dikaji memandangkan masih terdapat majikan yang sanggup mengambil risiko menggaji warga asing meskipun berdepan tindakan tegas.

“Kita akan kaji. Kalau didapati tindakan sedia ada masih tidak berkesan, kemungkinan saya akan cadangkan kepada kerajaan supaya kadar kompaun itu dinaikkan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi di Jalan Kenanga, di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika ini majikan boleh dikenakan kompaun mencecah RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digaji secara tidak sah.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan JIM kini mula memberi tekanan kepada majikan apabila ada yang dikenakan kompaun sehingga mencecah ratusan ribu bergantung kepada jumlah pekerja asing yang diambil bekerja secara tidak sah.

“Kita nampak mereka masih tidak serik, namun saya percaya tindakan tegas yang kita ambil sudah mula memberi kesan dalam kalangan majikan,” ujarnya.

Zakaria berkata, majikan yang masih menggaji warga asing secara tidak sah disaran segera menghantar pulang pekerja terbabit menerusi Program Repatriasi Migran atau mendapatkan pekerja asing mengikut saluran yang sah melalui Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, antara faktor yang dipercayai mendorong segelintir majikan mengambil pekerja asing secara tidak sah ialah bagi mengurangkan kos pengambilan.

“Mereka mungkin tidak mahu menanggung kos pemprosesan, pengangkutan dan kos-kos lain yang terlibat dalam pengambilan pekerja secara sah.

“Malah, ada yang hanya perlu membayar gaji yang lebih rendah berbanding pekerja yang dibawa masuk mengikut prosedur,” ujarnya.

Mengulas sama ada tindakan terhadap lesen premis boleh diambil, Zakaria berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Itu antara perkara yang dibincangkan di peringkat tertinggi. Setiap agensi mempunyai bidang kuasa masing-masing dan saya percaya semua agensi akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 111 warga asing yang dipercayai bekerja secara tidak sah di premis perniagaan ditahan JIM dalam serbuan di Jalan Kenangan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN